Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

PPBM akan menentang PAS jika tidak bekerjasama dalam PRU15 -Muhyiddin



PAGOH: BERSATU optimis PAS akan terus mengukuhkan hubungan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PPBM tidak akan menolak kemungkinan akan menentang PAS jika parti tersebut tidak bekerjasama dalam pilihanraya akan datang.

Walaupun begitu, sehingga kini pucuk pimpinan PAS dan ahli tertinggi parti itu tetap memberi sokongan kepada PN dengan menyertai mesyuarat gabungan itu.

"Pada waktu permulaan pendaftaran PN, PAS adalah penajanya dan bersama-sama dalam PN sejak ia ditubuhkan, kemudian barulah parti lain menyertainya.

"Sehingga ke hari ini, saya lihat dalam semua mesyuarat yang kita adakan, presidennya dan semua wakilnya termasuk di peringkat pusat serta pucuk pimpinan PAS datang bersama, berbincang banyak perkara hal berkaitan kerajaan dalam gabungan parti PN," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Bersama Pimpinan BERSATU Johor di Pejabat BERSATU Bahagian Pagoh, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha BERSATU Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Ketua Penerangan BERSATU Johor, Mohd Solehan Badri.

Muhyiddin mengulas kecenderungan PAS ketika ini sama ada memilih untuk terus bersama PN atau Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi PRU-15.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, BERSATU bersedia menerima sebarang keputusan dalam hala tuju kerjasama tiga parti utama Melayu iaitu UMNO, BERSATU dan PAS dalam PRU-15.

"BERSATU akan terus memberi kerjasama yang baik dengan mana-mana parti yang sealiran demi rakyat di negara ini.

"Sekiranya mereka adalah sebahagian daripada kita, kita akan bekerjasama. Jika mereka bukan sebahagian daripada kita, kita menentang mereka dalam pilihan raya.

"Itulah prinsip yang menurut saya boleh diterima kerana pucuk pimpinan dan ahli-ahli kita begitu prihatin hal itu," katanya.

-BHonline