Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Pencuri tabung masjid bebas dijamin Pengerusi Bersatu Perlis


KANGAR: Wanita yang dituduh di Mahkamah Majistret di sini semalam, kerana mencuri tabung masjid yang mengandungi wang bernilai RM40 di Padang Pauh, Padang Besar dibebaskan selepas dijamin hari ini.

Wanita berusia 28 tahun itu diikat jamin oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Abu Bakar Hamzah.

Tertuduh yang tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kangar kira-kira pukul 12.50 tengah hari dibebaskan kira-kira 22 minit kemudian selepas selesai proses ikat jamin yang membabitkan RM2,000 itu.

Abu Bakar berkata, pihaknya menerima arahan daripada Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dibantu oleh Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mahu isu tersebut diselesaikan segera.

Katanya, usaha tersebut dilakukan kerana tidak mahu melihat rakyat yang sudah pun berdepan dengan kesempitan hidup dibebani lagi dengan kesusahan seperti itu.

“Sekurang-kurangnya pertolongan ini membuktikan kepada rakyat bahawa kerajaan sentiasa pandang serius dengan kes-kes kecurian yang berlaku dalam negara. Kita tahu mencuri itu salah dari segi agama dan undang-undang, tetapi kita akan cuba atasi kerana tidak mahu perkara sama berulang di tempat lain.

“Kami juga berterima kasih pada ahli jawatan kuasa masjid di atas aduan yang dibuat. Bagaimanapun, kami akan cuba selesaikan perkara ini dengan baik kerana kita tahu dia (tertuduh) ada menerima bantuan tetapi mungkin bantuan itu tidak seberapa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Semalam, seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kangar atas tuduhan mencuri tabung di sebuah masjid di Padang Pauh, Padang Besar,  Sabtu lalu.

Tertuduh, Nor Amira Roslan, 28, yang bekerja sebagai tukang cuci membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Kamaliza Md. Zain.

Kamaliza kemudian menetap jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin. 

Bagaimanapun, tertuduh tidak dijamin dan ditahan di lokap Penjara Pokok Sena.

Ekoran itu, ramai pihak yang ingin tampil membayar wang jaminan itu termasuk seorang pemain bola sepak Kedah ketika era 80-an menyatakan hasrat sama.


Tambah Abu Bakar, usaha untuk menjamin wanita yang mempunyai seorang anak berusia empat tahun itu juga mendapat kerjasama Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Sementara itu, beliau memberitahu, pihaknya difahamkan tertuduh, Nor Amira ada menerima bantuan daripada pelbagai pihak di negeri ini.

“Mungkin dalam keadaan kesusahan pada ketika ini dengan pelbagai keperluan, kerana itulah berlaku perkara seperti ini. Seseorang yang berfikiran waras tidak akan buat kerja salah terutama di dalam masjid. Mungkin dia tertekan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nor Amira yang agak sebak dan terharu dengan pertolongan yang diberikan tersebut mengucapkan terima kasih kepada Abu Bakar.

“Jika tidak dijamin, saya terpaksa duduk di penjara. Alhamdulillah kerana bagi peluang kepada saya untuk buka buku baharu.

“Saya pun minta maaf atas kesilapan dan berjanji dengan bantuan yang diberikan ini, saya akan memulakan hidup baharu,” ujarnya. 

– UTUSAN ONLINE