Lelaki mengaku tak bersalah, cabul adik ipar umur 7 tahun



Seorang lelaki hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Pasir Mas, Kelantan, selepas didakwa mencabul adik iparnya yang baru berusia tujuh tahun.

Lelaki terbabit yang berusia 39 tahun membuat pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan maksud seksual mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah Proton Wira di tepi Jalan Ayir Naga, Tanah Merah kira-kira jam 10 malam hingga 12 tengah malam, antara 8 hingga 12 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut seksyen 14 akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat.

Hajarul Falenna Abu Bakar bertindak sebagai timbalan pendakwa raya, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Hajarul Falenna tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh yang juga seorang buruh mempunyai akses untuk berhubung atau berjumpa mangsa kerana kanak-kanak itu adalah adik iparnya.

Sementara itu tertuduh dalam rayuannya memohon agar mahkamah menawarkan jaminan menandangkan dia mempunyai lima anak dan isteri yang sedang sarat mengandung.

Dia juga mendakwa menanggung seorang ibu yang juga orang kurang upaya (OKU).

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 14 Nov depan untuk sebutan semula kes dan serahan laporan perubatan.

-MalaysiaKini

Join our Telegram Channel
Telegram


Lelaki mengaku tak bersalah, cabul adik ipar umur 7 tahun Lelaki mengaku tak bersalah, cabul adik ipar umur 7 tahun Reviewed by Tun Carlos on September 15, 2021 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.