Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kes menurun, Lim Kit Siang ucap tahniah pada KJ



Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang sekali lagi memuji Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin susulan penurunan kes positif harian Covid-19 di bawah 14,000 semalam.

Bagaimanapun kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, dia tidak pasti sama ada angka yang direkodkan itu menunjukkan penurunan penularan wabak itu atau sebaliknya.

"Tahniah sekali lagi kepada Khairy untuk 13,104 kes Covid-19 yang direkodkan semalam, harapnya angka kes jangkitan akan terus menurun ke bawah paras 10,000 bermula 1 Okt dan menurun ke paras empat angka menjelang pembentangan Belanjawan 2022 pada 29 Okt.

"Semasa saya mengucapkan tahniah kepada Khairy pada Jumaat minggu lalu, selepas Malaysia buat pertama kali mencatatkan angka kes harian baharu Covid-19 di bawah paras 14,000 dalam tempoh dua bulan pada Khamis lalu, saya turut menegaskan bahawa Menteri Kesihatan itu perlu bekerja lebih keras untuk menurunkan angka kes jangkitan ke bawah paras 4,000.

"Namun, masih terdapat ketidakpastian sama ada penularan wabak ini semakin reda kerana kita mencatatkan 13,754 kes jangkitan pada Khamis lalu dan disusuli dengan peningkatan sebanyak 14,554 kes pada Jumaat dan menurun kepada 13,899 kes pada Sabtu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 24 Sep lalu, Lim secara terbuka mengakui pelantikan Khairy sebagai Menteri Kesihatan adalah satu-satunya berita baik dalam peristiwa pembentukan kabinet Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Dia mengucapkan tahniah kepada Khairy yang berjaya menurunkan kes harian Covid-19 di bawah 14,000 semalam.

"Biar saya berlaku jujur satu-satunya berita baik dalam peristiwa pembentukan kabinet Ismail Sabri adalah pelantikan Khairy Jamaluddin sebagai menteri kesihatan.

"Semua rakyat Malaysia mahu dan mengharapkan Khairy berjaya dalam mengemudi perang melawan Covid-19 yang mengancam negara, dan saya tidak segan untuk mengakui bahawa saya adalah seorang daripadanya.

"Saya akan terus melontarkan pandangan dan kritikan terhadap Khairy dalam usahanya untuk memerangi Covid-19, bukan kerana saya mahu beliau tersungkur gagal tetapi sebaliknya untuk melihat beliau berjaya," kata Lim.

Dalam pada itu, Lim berharap angka 13,104 kes jangkitan yang dicatatkan semalam, menandakan penurunan berterusan lekuk jangkitan dalam gelombang penularan Covid-19 terpanjang di dunia.

"Pun begitu, 278 kes kematian akibat Covid-19 (dengan 99 daripadanya adalah kematian di luar fasaliti (BID), menjadikan kes terkumpul BID terkini sebanyak 5,022), yang meletakkan Malaysia sebagai negara keempat di dunia dengan kes kematian baharu akibat jangkitan Covid-19 tertinggi, bukan sesuatu yang bagus dan usaha keras diperlukan untuk menurunkan angka korban akibat jangkitan Covid-19 ke paras dua angka.

"Saya tidak akan meminta maaf kerana menunjukkan obsesi yang mendalam terhadap wabak Covid-19 serta mengharapkan Khairy berjaya dalam perang melawan Covid-19 kerana penularan wabak ini telah membawa ancaman yang besar terhadap Malaysia," katanya lagi.