Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Man Kidal positif Covid-19, demam menggigil dan hilang deria rasa



PETALING JAYA – “Saya syak mak dijangkiti Covid-19 selepas pergi membeli barang keperluan dapur di sebuah pasar raya di Mutiara Damansara”.

Itu jawapan anak bongsu kepada gitaris legenda, Man Kidal atau nama sebenarnya Abdul Rahman Mahmood setelah dia dan isterinya, Norlaila Yusof disahkan positif Covid-19.

Menurut Nur Syahira Rahman, 25, ibunya ada mengunjungi pusat beli-belah tersebut pada 10 Julai lalu dan mula mengalami gejala batuk dan pening kepala pada keesokan harinya.

“Selepas beberapa hari demam, saya meminta mak untuk ke klinik membuat ujian calitan pada 14 Julai.

“Hasil ujian tersebut, ternyata mak positif Covid-19 dan diarahkan menjalani kuarantin kendiri di rumah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.

Ujarnya lagi, bapanya turut melakukan ujian calitan beberapa hari kemudian kerana bergejala demam dan disahkan positif semalam.


“Buat masa sekarang, mereka ditempatkan dalam satu bilik yang sama di rumah.

“Saya sudah memaklumkan keadaan mak dan ayah kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini hanya menanti tindakan selanjutnya. Namun jika berlaku sebarang kecemasan KKM minta bawa mereka ke hospital dengan segera,” ujarnya.

Sementara itu, Syahirah nyata tidak dapat menyembunyikan rasa bimbang akan keadaan yang dialami kedua orang tuanya.

“Mak dan ayah kini mengalami demam panas dan hilang deria rasa serta menggigil. Setiap jam saya akan menghubungi mereka untuk bertanyakan keadaannya.

“Sudah tentu sebagai anak, saya merasakan risau lebih-lebih lagi mak berisiko kerana menghidap kencing manis dan darah tinggi,” katanya.

Bercakap kepada Kosmo ! Online, Syahirah meminta orang damai mendoakan kesihatan kedua orang tuanya agar segera sembuh seperti sediakala. 

– K! ONLINE