Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Ahli politik Sabah didakwa cabul 2 wanita dibebaskan dengan ikat jamin


SABAH: Seorang ahli politik Sabah, Phillip Among mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan mencabul kehormatan dua wanita di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu hari ini.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan dua wanita secara berasingan, termasuk seorang peserta Ratu Kaamatan yang lebih dikenali sebagai Unduk Ngadau.

Among atau nama sebenarnya Philip Among @ Daniel Dell Fidelis membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun selepas pertuduhan dibacakan.

Bagi pertuduhan pertama, Among dituduh menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan seorang wanita kira-kira 11 malam pada 17 April lalu di ruang tamu Capsule Inn, Asia City, di sini.


Empat pertuduhan lain turut membabitkan kesalahan mencabul kehormatan seorang wanita yang juga peserta Ratu Kaamatan di empat tempat berasingan pada 19 Mei lalu.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Siti Amirah Mohd Ali meminta mahkamah menetapkan ikat jamin RM20,000 bagi setiap pertuduhan kerana kes terbabit mendapat liputan meluas media.

Bagaimanapun dua peguam tertuduh Marcel Jude dan Abdul Fikry Jaafar Abdullah memohon agar mahkamah mengurangkan jumlah jaminan dengan mengambil kira tertuduh memberi kerjasama penuh kepada polis sepanjang siasatan.

Jude berkata, sumbangan Among kepada masyarakat juga perlu diambil kira, selain pendapatannya sebagai ahli perniagaan terjejas akibat pandemik Covid-19.


Mahkamah membenarkan Among diikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan bersama dua penjamin sementara menunggu pengurusan kes praperbicaraan pada 14, 21 dan 22 Julai ini.

Majistret turut mengarahkan Among menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Terdahulu, satu laporan polis dibuat oleh seorang peserta Unduk Ngadau yang mendakwa beliau diraba di paha, belakang badan, leher dan tangan ketika menaiki kenderaan ahli politik itu.

Difahamkan selepas laporan polis bertarikh 21 Mei itu tular di media sosial, beberapa laporan polis dibuat terhadap Among, selain pendedahan di media sosial oleh beberapa individu terhadap salah laku penyelaras parti STAR bagi Parlimen Putatan yang digantung jawatan itu.

-FMT