"Zaman saya dulu, ada orang politik suruh polis bebaskan geng mereka" dedah Musa Hassan


Nampaknya campur tangan orang politik ke atas urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan sesuatu yang asing, dan bukan hanya berlaku semasa Abdul Hamid Bador menjadi pegawai tertinggi pasukan terbabit.

Hal itu diakui bekas ketua polis negara (IGP) Musa Hassan seperti dilaporkan media hari ini.

Kata Musa campur tangan tersebut malah menjejaskan proses siasatan yang dijalankan PDRM selain memberi arahan kepada pegawai lain tanpa pengetahuannya walaupun ketika itu dia berjawatan ketua polis negara.

Ia juga, katanya, menyebabkan PDRM kehilangan taring.


“Ketika zaman saya dahulu, ada orang politik yang suruh polis bebaskan geng mereka, dan ada juga yang beri arahan kepada ketua polis negeri tanpa pengetahuan saya.

“Campur tangan politik ini berlaku membabitkan operasi sehingga ia boleh menyebabkan proses siasatan terganggu,” katanya seperti laporan Mingguan Malaysia.

Dalam sidang media terakhirnya sebagai IGP pada 30 April lalu, Abdul Hamid mendedahkan bagaimana ada orang politik - atau menteri - mencampuri urusan dalaman PDRM.

Antara dakwaan dibuat Abdul Hamid ialah cubaan mereka mengatur pelantikan pegawai-pegawai kanan dalam pasukan keselamatan terbabit.

Hal tersebut, katanya, sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang juga presiden Bersatu. Untuk rekod menteri yang dimaksudkan Abdul Hamid mencampuri urusan PDRM ialah Hamzah Zainudin.

Hamzah merupakan menteri dalam negeri merangkap setiausaha agung Bersatu.


Bekas pengarah Cawangan Khas Bukit Aman itu kemudian mencadangkan agar Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) diketuai oleh tokoh yang bebas dan tidak ada kepentingan seperti hakim atau bekas hakim. 

Mengikut Perkara 140(3) Perlembagaan Persekutuan, SPP perlu dipengerusikan oleh menteri yang bertanggungjawab ke atas PDRM, iaitu menteri dalam negeri.

Musa berkata untuk membolehkan SPP diketuai oleh tokoh yang bebas atau selain menteri dalam negeri kerajaan perlu terlebih dahulu meminda perlembagaan.

“Tetapi perlu diingat, tiada pihak yang mempunyai kuasa mutlak apabila membabitkan urusan pertukaran dan pelantikan pegawai dalam perkhidmatan PDRM.

“Pengerusi SPP sendiri boleh memberi kuasa perwakilan kepada IGP untuk melantik atau menukar mana-mana pegawai atasan sekiranya perlu untuk berbuat demikian,” katanya.

-MalaysiaKini


Join our Telegram Channel
Telegram


"Zaman saya dulu, ada orang politik suruh polis bebaskan geng mereka" dedah Musa Hassan "Zaman saya dulu, ada orang politik suruh polis bebaskan geng mereka" dedah Musa Hassan Reviewed by Tun Carlos on May 02, 2021 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.