Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Solat jenazah ghaib untuk mangsa KRI Nanggala di masjid seluruh Malaysia


PUTRAJAYA: Semua masjid dan surau di seluruh negara digalakkan untuk mengadakan solat jenazah ghaib ke atas mangsa tragedi kapal selam Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL), KRI Nanggala.

Ketua Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zakaria Othman berkata, ia sebagai tanda prihatin negara terhadap jiran serantau yang ditimpa musibah.

“Tiga masjid utama di bawah pentadbiran Jakim iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin akan mengadakan solat khas itu sejurus selepas solat Isyak malam ini.


“Jakim turut memohon jasa baik serta kerjasama daripada pihak jabatan dan majlis agama Islam negeri-negeri menganjurkannya di tempat masing-masing,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Beliau merujuk pengumuman rasmi dibuat kerajaan Indonesia semalam yang mengesahkan kesemua 53 petugas kapal selam itu maut selepas dilaporkan hilang pada 21 April lalu.

Kapal itu dipercayai mengalami kerosakan teknikal sebelum terbelah tiga apabila turun melebihi 800 meter dari permukaan laut dekat Pulau Bali selepas ujian peluru berpandu.

Zakaria menambah, umat Islam di negara ini juga diseru melakukan solat itu bagi mendoakan mangsa tragedi tersebut sama ada secara bersendirian atau berjemaah.

“Jakim dan seluruh umat Islam merakamkan ucapan takziah kepada ahli-ahli keluarga mangsa dan berharap mereka dikurniakan kesabaran tinggi menghadapi musibah ini,” kata beliau.

-UTUSAN