Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Polis akan kompaun sekolah yang cetuskan kluster baharu


KUANTAN: Polis akan mengeluarkan kompaun terhadap sekolah yang mencetuskan kluster baharu COVID-19 jika ia berpunca daripada pengabaian prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata langkah itu untuk membendung penularan pandemik COVID-19 di semua sekolah di Pahang.

Bagaimanapun, katanya, kompaun yang dikeluarkan itu adalah tindakan terakhir selepas pelbagai langkah dilakukan tidak dapat dipatuhi pihak sekolah terbabit.


"Oleh itu, polis menasihati supaya semua pihak iaitu pasukan pemantau, penguat kuasa dan ibu bapa untuk memastikan sekolah bebas daripada kluster COVID-19.

"Kita tidak mahu Pahang termasuk antara negeri yang sekolah terpaksa ditutup akibat COVID-19 selain bimbang jika berlaku kluster baharu di sekolah," katanya.

Abd Jalil berkata demikian kepada media selepas Mesyuarat Permuafakatan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang bersama Polis Pahang di pejabat JPN Pahang, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah JPN Pahang, Mohammad Rosli Abdul Rahman.


Bagi memastikan tiada kes COVID-19 di sekolah, beliau meminta ibu bapa tidak menghantar anak yang bergejala seperti demam atau selsema ke sekolah.

"Apabila berlakunya kes di sekolah, ia akan merugikan anak-anak lain yang ingin ke sekolah untuk meneruskan pembelajaran mereka," katanya.

Sementara itu, Mohammad Rosli berkata, jabatan meminta semua guru, kakitangan dan pelajar yang bergejala tidak hadir ke sekolah.

"Ibu bapa kena kenal pasti anak mereka dan apabila mempunyai gejala, mereka tidak perlu menghantar anak mereka ke sekolah," katanya.

-Berita Harian