Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Larangan rentas negeri harus dikekalkan ketika Aidilfitri, kata pakar kesihatan


PETALING JAYA: Larangan perjalanan merentas negeri harus dikekalkan ketika musim perayaan Aidilfitri yang akan datang kerana kadar jangkitan Covid-19 masih tinggi, kata pakar kesihatan.

Bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, Putrajaya tidak sepatutnya menamatkan sekatan itu sehingga angka Covid-19 jatuh kepada dua digit.

Tambah beliau, disebabkan sistem pengesanan kontak masih lemah, pergerakan orang ramai secara besar-besaran tidak boleh dibenarkan.

Beliau juga menggesa pihak berkuasa menghadkan bilangan individu yang mengunjungi keluarga bagi memastikan penjarakan fizikal dapat dijaga, selain memastikan jarak 1m antara pelanggan di restoran dipatuhi dengan ketat.


Kata beliau, ketiadaan lonjakan kes di Semenanjung menunjukkan bahawa prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika Tahun Baharu Cina pada Februari berkesan.

Pada Januari, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan SOP bagi musim perayaan Tahun Baharu Cina, termasuk tidak lebih 15 ahli keluarga daripada rumah yang berlainan dibenarkan makan bersama-sama, dengan syarat mereka tinggal tidak lebih daripada radius 10km.

Ahli-ahli keluarga ini juga tidak dibenarkan merentas daerah atau negeri kerana kebanyakan kawasan dalam negara masih berada bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 pada masa itu.

Kata Lee, dengan tidak menyekat perhimpunan ahli keluarga, jumlah kes mungkin meningkat apabila ahli-ahli keluarga tidak mematuhi penjarakan fizikal.


Lee, yang juga Ahli Parlimen Gopeng, berkata, Kementerian Kesihatan perlu memperbaiki sistem yang mengesan kontak dalam tempoh 48 jam kes dikesan supaya penularan Covid-19 dapat dibendung.

“Jika ini dapat dilakukan, pihak berkuasa mungkin mengkaji semula larangan merentas negeri. Jika tidak, kita akan melihat lonjakan kes lagi apabila berjuta-juta rakyat merentas negeri,” kata beliau.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr M Subramaniam bersetuju, dengan berkata, kes Covid-19 sudah dijangka akan meningkat dengan orang ramai mengunjungi bazar Ramadan selama 30 hari akan datang.

Beliau juga menggesa pihak berkuasa untuk terus menyekat perjalanan merentas negeri.

“Orang ramai mungkin mahu menyambut Hari Raya dengan keluarga selepas sekatan tahun lalu, tetapi demi kesihatan, mungkin kita boleh menahan diri sedikit lama lagi, supaya angka (Covid-19) dapat dikawal,” kata beliau kepada FMT.

Tambah beliau, kerajaan mungkin perlu membuat keputusan yang sukar dengan mengehadkan bilangan orang yang mengunjungi rakan-rakan dan keluarga dalam radius 20km, bagi tujuan pengesanan kontak.

-FMT