Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Sepasang pengantin baru dan 17 rakan ditahan polis serta dikompaun


LANGKAWI: Asyik merakam gambar kenangan secara berkumpulan berhampiran sebatang sungai, 19 individu termasuk sepasang pengantin ditahan polis dan dikenakan kompaun pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Shariman Ashari berkata anggotanya yang membuat rondaan bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP) di sekitar kawasan perumahan di Ayer Hangat mengesan kehadiran kumpulan berpakaian sedondon itu kira-kira 6.30 petang.

"Semasa rondaan, anggota polis ternampak kumpulan tersebut yang terdiri daripada sepasang pengantin dan 17 individu termasuk pengiring pengantin berada berhampiran sungai dan mengambil gambar beramai-ramai.


"Hasil siasatan mendapati ada antara mereka tinggal di kawasan perumahan tersebut manakala yang lain datang dari beberapa lokasi lain sekitar pulau ini," katanya.

Shariman berkata daripada 17 orang itu, 16 adalah wanita.

Menurutnya polis kemudian menahan mereka kerana berkumpul dan tidak mempunyai asas yang kukuh untuk keluar rumah.

Katanya, mereka yang berusia antara 17 hingga 28 tahun itu dibawa ke Balai Polis Kuah untuk proses dokumentasi dan masing-masing dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang sebelum dibebaskan.

Pada 28 Jan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dalam satu kenyataan memaklumkan perkhidmatan nikah, cerai serta rujuk dibenarkan seperti biasa mengikut SOP ditetapkan mulai 1 Febdan majlis akad nikah hanya akan dilaksanakan di pejabat agama islam daerah.

- Bernama