Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kerajaan saman sekutu Jho Low RM67.9 juta

Gambar: MalaysiaKini

Kerajaan memfailkan saman berjumlah RM67.9 juta terhadap individu yang didakwa sebagai sekutu Low Taek Jho, Tan Kim Loong atas dakwaan tidak membayar cukai.

Writ saman itu difailkan terhadap Tan, yang turut diburu pihak berkuasa, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Jan.

Menurut salinan pernyataan tuntutan, kerajaan menuntut cukai yang didakwa tidak dibayar berjumlah RM67,996,891.87 bagi tahun taksiran 2010 hingga 2013.

Nombor kad pengenalan yang dinyatakan dalam writ saman tersebut sama dengan nombor milik individu yang diburu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 2018 bagi membantu siasatan terhadap 1MDB.


Sehingga kini pihak berkuasa masih berusaha mengesannya.



Nama Tan muncul ketika perbicaraan kes SRC International berjumlah RM42 juta terhadap bekas perdana menteri Najib Razak tahun lalu.

Menurut kenyataan Tan kepada SPRM di Arab Saudi pada 27 Nov 2015, dia didakwa sebagai pemilik benifisiari beberapa syarikat yang didakwa menyalurkan beberapa bilion ringgit ke dalam akaun Najib antara 2011 dan 2015.

Ketika itu, Tan mendakwa dia tidak tahu identiti penerima wang yang disalurkannya.


Menerusi saman ini, kerajaan mendakwa notis taksiran cukai telah dihantar ke alamat berdaftar milik Tan di Taman Pusat Kepong, Kuala Lumpur pada 24 Nov 2020.

"Notis-notis taksiran tersebut tidak pernah dikembalikan kepada plaintif tanpa serah.

"Sehingga kini, defendan masih gagal membayar kepada plaintif amaun cukai pendapatan defendan yang masih terhutang dan genap masanya dan kena dibayar bagi tahun taksiran 2010, 2011, 2012 dan 2013, termasuk kenaikan yang dikenakan yang kesemuanya berjumlah RM67,996,891.87," menurut pernyataan tuntutan kerajaan.

Jumlah itu termasuk denda atas dakwaan gagal membayar cukai pada tahun yang dinyatakan.

Plaintif juga menuntut faedah lima peratus setiap tahun terhadap jumlah cukai dari tahun penghakiman sehingga tarikh pembayaran, kos dan sebarang relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.

-MalaysiaKini