Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kedah setanding Lembah Klang lagi 10 tahun -MB Kedah


KUALA LUMPUR: Dalam tempoh 10 tahun akan datang Kedah dianggap bakal setanding dengan Lembah Klang hasil pelbagai pendekatan dan perancangan di bawah ‘Kedah Sejahtera Berdaya Huni 2035’, petik Harakah Daily hari ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, selain merancang pembangunan baharu di Kedah, kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga meneruskan pembangunan yang dirancang kerajaan sebelumnya.

“Jangan ambil kira fahaman politik. Apa yang penting perancangan yang dibuat diteruskan demi kebaikan rakyat dihabiskan,” kata beliau dalam temubual bersama Malaysia Hari Ini terbitan TV3 pagi tadi.


Menurutnya, pembangunan selepas pandemik Covid-19 menjadi fokus utamanya selain usaha menarik pelabur ke negeri itu.

Antaranya Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang mendapat kelulusan pembinaannya akan diteruskan. Selain itu projek pelaburan di Langkawi oleh Widad @ Langkasuka bernilai RM40 bilion.

Sanusi juga berkata, tumpuan kepada pembangunan kampus Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMs) dengan menawar pendidikan kepada rakyat dengan kos lebih rendah.

Kata beliau, pendidikan antara perkara penting yang bukan sahaja membawa pulangan modal insane, sebaliknya dapat mengeluarkan seseorang itu daripada belenggu kemiskinan.


“Kalau ada pelajar miskin yang tidak dapat bersekolah, ia amat sensitif kerana terhalang usaha mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan.

“Kita mahu merealisasikan Kedah untuk orang miskin bernaung dan orang kaya berbakti dan berkongsi Rezeki,” sambung beliau.

Bagaimanapun beliau tidak menyangkal kehidupan rakyat Kedah tidak mencapai kelas menengah, malah pendapatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri itu lebih rendah berbanding Perlis.

Namun dalam tempoh 280 hari Kerajaan PN, pelbagai usaha dilakukan untuk kemudahan rakyat.

“Saya akan perjuang hak Kedah sampai menang. Hak Kedah untuk rakyat Kedah. I am the fighter. Yang penting bina persahabatan dan tidak perlu cari musuh.


“Kita bersikap terbuka. Aduan yang diterima kita ambil respons secara direct. Yang penting rakyat Kedah ada pemimpin tempat mereka mengadu,” katanya yang juga Adun Jeneri.

Justeru itu, beliau berharap semua pemimpin negeri itu memberi fokus kepada masalah rakyat dan bukannya berjuang untuk kepentingan peribadi.

Menurutnya, Pelan 2035 Kedah Sejahtera Berdaya Huni mesti direalisasikan supaya tidak berlaku lagi penghijrahan anak-anak Kedah ke negeri lain untuk mencari rezeki.

“Oleh itu pasukan yang ada sekarang mempunyai tanggungjawab besar. Pemimpin kena sedia berkorban dan menanggung derita, bukannya ambil nikmat sahaja,” ujarnya. – HARAKAHDAILY