Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

200 rakyat Malaysia terkandas di pelantar minyak, kesan rampasan kuasa Myanmar



PETALING JAYA: Kira-kira 200 rakyat Malaysia yang bertugas di sebuah pelantar minyak Petronas di Laut Andaman, perairan Myanmar dilaporkan terkandas apabila mereka terputus hubungan dengan daratan sejak Isnin lalu ekoran rampasan kuasa di negara itu.

Selain terputus hubungan, Mingguan Malaysia melaporkan pekerja sebuah syarikat kontraktor di pelantar minyak Yetagun milik Petronas itu juga berdepan kehabisan bekalan makanan dan bahan api.

Seorang pekerja berkata, sehingga kini, mereka belum mendengar khabar daripada Kedutaan Malaysia di Yangon atau majikan.


Beliau yang sudah empat bulan bertugas di pelantar itu berkata, kebiasaannya pekerja di pelantar minyak itu akan diganti setiap 40 hari, tetapi disebabkan isu visa dan Covid-19, kumpulan sama dikekalkan dan keadaan diburukkan lagi oleh darurat dan rampasan kuasa di Myanmar.

“Ada kawan-kawan yang sudah dihantar ke darat, tetapi tidak ada khabar berita daripada mereka. Kami juga tidak dapat hubungi kedutaan,” katanya dipetik akhbar itu.

Masalah yang dihadapi mereka ialah perkhidmatan helikopter antara pelantar minyak itu dengan Dawei di daratan juga terhenti kerana dipercayai dikawal tentera junta.

Pekerja itu berkata, tidak jelas sama ada mereka perlu meneruskan kerja seperti biasa atau akan dipanggil balik ekoran pergolakan di negara itu.


Katanya, sehari selepas rampasan kuasa, mereka diarah menghentikan semua kerja, namun kerja itu disambung seperti biasa keesokannya dan sehingga kini, mereka tetap menjalankan tugas harian walaupun bimbang dengan keselamatan diri.

Beliau berkata, mereka kini tinggal dalam sebuah kapal induk dengan bekalan makanan dan bahan api hanya dapat bertahan sehingga 10 atau 11 Feb ini.

Sekiranya perlu meneruskan kerja seperti biasa, katanya, Petronas perlu menghantar bekalan makanan dan bahan api dengan segera.

Pada 1 Feb lalu, tentera Myanmar mengambil alih kerajaan negara itu dengan pemimpin de facto, Aung San Suu Kyi dan beberapa pemimpin lain ditahan, manakala darurat diisytiharkan di seluruh negara.

-FMT