Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kekurangan katil di ICU hampir genting di Selangor, lapor MalaysiaKini


Usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk bergabung tenaga dengan sektor swasta hadir ketika munculnya masalah kekurangan katil di unit rawatan rapi (ICU) serta wad biasa di hospital kerajaan akibat Covid-19.

Kekangan dihadapi berlaku ketika kes serius Covid-19 dan kematian disebabkan wabak itu menunjukkan peningkatan mendadak.

Manurut laporan MalaysiaKini, dapatan itu dibuat berdasarkan dokumen yang disediakan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) pada 14 Jan lalu yang dibentangkan pihak atasan beberapa hospital swasta.





Kementerian mengklasifikasikan kes-kes Covid-19 kepada beberapa kategori dengan yang paling parah sebagai Kategori 4 iaitu pesakit dengan radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen) serta Kategori 5 (pesakit dengan penyakit kritikal dan kegagalan organ).

Pada minggu pertama Dis 2020, pesakit dalam Kategori 4 dan 5 hampir satu daripada 50 pesakit Covid-19 atau 1.93 peratus.

Kurang dari sebulan kemudian - pada 4 Jan 2021- kategori itu kini terdiri satu daripada 10 pesakit Covid-19 (9 peratus).

Kematian berkaitan Covid-19 turut dilihat meningkat beberapa bulan kebelakangan ini. Sembilan bulan pertama 2020 mencatatkan kurang daripada 100 kematian secara kumulatif.


Tak termasuk pesakit disyaki

Namun pada Okt 2020 saja, seramai 113 pesakit meninggal dunia akibat wabak tersebut.

Nov dan Dis tahun lalu turut menyaksikan 111 kematian kerana Covid-19.

Penularan wabak yang kian memburuk menyebabkan hospital yang mengendalikan kes Covid-19 di 10 negeri dan wilayah mengalami kekurangan katil di wad ICU.

Data CPRC bertarikh 14 Jan menunjukkan keadaan hampir genting di Selangor. Dengan hanya 60 katil ICU tersedia di Hospital Sungai Buloh, 55 daripadanya sudah digunakan setakat 14 Jan.

Ini bersamaan dengan 92 peratus kadar penggunaan.


Melaka di tempat kedua dengan 90 peratus kadar penggunaan apabila 47 dari 52 katil ICU di Hospital Melaka sudah digunakan.

Dengan hanya lima hospital Covid-19, Perak berada di tangga ketiga dengan kadar pengunaan 86 peratus apabila 60 dari 70 katil di wad ICU di hospital di negeri itu sudah digunakan.

Tujuh kawasan lain yang mempunyai 70 peratus kadar pengunaan katil di wad ICU adalah di Labuan, Terengganu, Perlis, Sarawak, Kedah, Johor dan Sabah.

Sejak Jan 15, Malaysia mempunyai 204 pesakit Covid-19 yang ditempatkan di ICU dengan 87 daripada mereka memerlukan sokongan ventilator. Bilangan itu tidak termasuk pesakit “disyaki” yang turut akan diletakkan dalam wad tersebut.


Ini merupakan angka tertinggi pesakit Covid-19 dalam negara sejak wabak itu melanda.

Menurut CRPC, kekangan katil ICU turut memberi kesan kepada pesakit bukan Covid-19.

Penggunaan menghampiri 100 peratus

Hospital awam yang biasanya tidak merawat pesakit Covid-19 (hospital bukan Covid-19) kini tidak dapat memindahkan pesakit ICU mereka yang mempunyai Covid-19 ke hospital Covid-19 yang ditetapkan.

Ini bermakna sekarang tidak banyak katil ICU tersedia untuk pesakit dengan keadaan kritikal lain di hospital bukan Covid-19.


Keadaan ini juga telah mendedahkan kakitangan kesihatan di hospital bukan Covid terhadap wabak tersebut.

Hospital bukan Covid yang paling terjejas oleh keadaan ini kebanyakannya berada di Lembah Klang.

Salah satu contohnya ialah Hospital Serdang di Selangor yang mempunyai 19 pesakit ICU yang disahkan atau disyaki Covid-19.

Selain katil di ICU, katil di wad biasa hospital kerajaan Covid-19 di enam negeri juga kini berdepan kekurangan.


Negeri dengan lebih 70 peratus pengunaan katil biasa ialah di Kedah, Pulau Pinang, Johor, Selangor, Perlis dan Negeri Sembilan.

Tiga hospital Covid-19 di Kedah juga menghampiri kapasiti penuh dengan 204 daripada 213 sudah digunakan. Ini juga mencapai kadar penggunaan sebanyak 96 peratus.

Negeri kedua ialah Pulau Pinang apabila 197 daripada 224 katil - atau 88 peratus - di Hospital Pulau Pinang dan Kepala Batas sudah digunakan.

Johor di tangga ketiga dengan 590 daripada 708 katil digunakan di tiga hospital Covid-19 (83 peratus).

Difahamkan CPRC telah memberi penerangan kepada tiga penyedia penjagaan kesihatan swasta terbesar di negara ini - iaitu IHH Healthcare Bhd, Ramsay Sime Darby Healthcare dan KPJ Healthcare Bhd - mengenai jumlah tersebut pada Khamis lalu. -MalaysiaKini