Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Akar umbi UMNO hanya tolak DAP, kerjasama dengan PKR dan Amanah tidak dibincang

gambar: FMT

KUALA LUMPUR: Mesyuarat ketua bahagian UMNO dari seluruh negara bersama Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi hari ini memutuskan parti itu tidak akan bekerjasama dengan DAP, sebaliknya memperkukuhkan kerjasama dengan PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan berkata, ketua bahagian parti itu bagaimanapun tidak membincangkan sebarang bentuk kerjasama dengan PKR dan Amanah yang menjadi sekutu DAP dalam Pakatan Harapan (PH).

“Setakat ini, yang diputuskan hari ini ialah kita tidak bekerjasama dengan DAP. Kita juga putuskan untuk terus perkukuh kerjasama dengan PAS, selepas itu GPS,” kata beliau selepas pertemuan Zahid dengan ketua bahagian parti itu.


“Kita tiada bincang perundingan dengan parti lain (PKR dan Amanah), selain (PAS dan GPS). Itu kita tunggu dan lihat kemudian, keputusan Majlis Kerja Tertinggi esok malam adalah amat penting.”

Mengenai status pembahagian kerusi dengan PAS, Ahmad berkata, rundingan sedang dilakukan dengan parti Islam itu dan UMNO memutuskan tidak akan bertanding di semua 18 kerusi Parlimen yang dimenangi PAS pada pilihan raya umum ke-15.

Beliau berkata, Zahid akan menemui Presiden PAS, Abdul Hadi Awang petang ini dalam usaha memperkukuhkan hubungan kedua-dua parti, susulan pertemuan timbalan dan naib presiden UMNO dengan Ahli Parlimen Marang semalam.


Dalam perkembangan lain, Ahmad memaklumkan 147 daripada 189 bahagian UMNO menolak kerjasama dengan PPBM.

Katanya, UMNO Pusat sedang mengumpul semua resolusi yang diluluskan mesyuarat perwakilan bahagian untuk dibawa ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO esok.

“Mesyuarat 189 (bahagian UMNO) itu (berlangsung) tiga hari dari 1, 2 dan 3 Jan 2020. Dalam tinjauan kita, ada 147 ketua UMNO Bahagian menolak, itu kajian dalam kumpulan kami, tetapi usul semua itu kami sedang kumpulkan.


“Usul-usul peringkat bawah ini masih lagi dihantar kepada kita. Kesemuanya ada 756 mesyuarat,” katanya.

UMNO mempunyai 191 bahagian di seluruh negara, tetapi dua bahagian, iaitu Tanah Merah di Kelantan dan Tuaran di Sabah tidak mengadakan mesyuarat perwakilan minggu lalu.

Ahad lalu, Zahid dilaporkan berkata, MKT UMNO akan membincangkan usul penolakan kerjasama dengan PPBM yang diputuskan 143 daripada 191 bahagian esok.

Katanya, penolakan itu pada awalnya dibuat melalui satu kajian dalam kumpulan WhatsApp ketua UMNO bahagian seluruh negara. -FMT