Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Pelanggan kedai emas kena kompaun, bersesak selepas harga emas jatuh


KOTA BHARU: Gara-gara “berasak-asak” di kedai emas tanpa mengendahkan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi, polis Kelantan mengeluarkan 23 kompaun kepada pemilik dan pelanggan premis berkenaan di sini, semalam.

Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat berkata, penurunan harga emas sejak minggu lepas menyebabkan banyak kedai emas menjadi tumpuan sehingga ada yang “bertolak-tolak” kerana mahu membeli emas.

“Dalam keadaan seperti itu, sudah pasti ada pelanggan yang mengabaikan SOP seperti penjarakan fizikal.


“Pemilik premis juga gagal menyediakan peralatan lain seperti penyukat suhu kerana mungkin terlalu sibuk melayan pelanggan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis Kelantan kini memantau kira-kira 35 kedai emas di sekitar Kota Bharu bagi memastikan pemilik dan pelanggan mematuhi SOP ditetapkan susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di negeri ini.

Shafien berkata, langkah keselamatan bagi mengekang penyebaran Covid-19, seperti penyediaan alat penyukat suhu, pensanitasi tangan, pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal dilihat kurang dititikberatkan.


“Sekiranya mereka masih berdegil, polis akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan supaya tindakan menutup premis dilakukan,” katanya.

Pemilik premis sepatutnya meletakkan garisan atau tali bagi mendisiplinkan pelanggan supaya beratur sebelum memasuki premis.

“Polis tidak boleh ditempatkan sepanjang masa di sesebuah premis untuk memantau keadaan itu dan pemilik premis harus mengeluarkan sedikit modal bagi menyediakan khidmat anggota Rela.

“Eloklah juga kita amalkan budaya tegur menegur supaya semua anggota masyarakat mengamalkan SOP yang ditetapkan,” katanya. -FMT