Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Muhyiddin ucap tahniah pada Tengku Zafrul, dakwa PN amat prihatin dan responsif


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata dia tersentuh dengan pendirian ahli-ahli parlimen yang menyokong meluluskan Belanjawan 2021 pada peringkat dasar.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana Belanjawan 2021 telah pun diluluskan oleh Dewan Rakyat hari ini.

"Saya tersentuh dengan pendirian ahli-ahli parlimen yang menyokong belanjawan.

"Ini sekali gus membuktikan mereka menjunjung tinggi titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mahu ahli-ahli politik mengetepikan sementara politiking bagi membolehkan belanjawan ini diluluskan tanpa gangguan lebih-lebih lagi dalam keadaan negara sedang bergelut dengan ancaman Covid-19," katanya.


Belanjawan 2021 yang menarik perhatian ramai sejak beberapa hari lalu, akhirnya diluluskan melalui undi suara di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun pengundian hari ini adalah kekangan pertama yang perlu dilalui belanjawan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Selepas ini ia akan dibawa ke peringkat jawatankuasa untuk dibahaskan sebelum sekali lagi diundi.

"Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ahli parlimen terutamanya ahli-ahli parlimen Perikatan Nasional, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang telah menyokong Belanjawan 2021 sehingga diluluskan di peringkat dasar.


"Sokongan ini membuktikan kematangan ahli-ahli parlimen dalam membuat keputusan penting dengan meletakkan kebajikan, keselamatan nyawa dan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan mendahului perkara-perkara lain," katanya.

"Belanjawan 2021 merupakan belanjawan terbesar dan sangat penting kepada negara dan sokongan ini membolehkan kerajaan melaksanakan segala perancangan perbelanjaan untuk tahun hadapan dengan teratur dan lancar," tambahnya lagi.

Sementara itu, Muhyiddin turut mengucapkan tahniah kepada Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menyiapkan penggulungan Belanjawan 2021 dengan beberapa penambahbaikan.
 
"Penambahbaikan ini telah mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak termasuk ahli-ahli parlimen yang mengambil bahagian ketika perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 ini dijalankan.



"Ini membuktikan kerajaan PN amat prihatin mendengar keluh-kesah rakyat dan amat responsif terhadap pandangan pelbagai pihak dalam membantu rakyat memulih serta menjana semula ekonomi negara yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.

"Semoga Belanjawan 2021 ini akan menjadi pemangkin kepada usaha untuk mensejahterakan kehidupan rakyat dan negara," katanya.

Terdahulu, Zafrul antaranya mengumumkan pelbagai peruntukan tambahan termasuk kebenaran mengeluarkan wang dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti yang dituntut pelbagai pihak. -MalaysiaKini