Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Mahathir rancang jatuhkan PH sejak hari pertama jadi kerajaan, dedah Husam


KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden Amanah, Senator Datuk Husam Musa mendakwa kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dirancang sejak hari pertama menjadi kerajaan.

Ia dapat dilihat melalui indikator daripada apa yang berlaku sejak awal dan beliau sudah banyak kali memaklumkannya kepada pucuk pimpinan partinya sejak tahun lalu termasuk kepada Timbalan Presiden Amanah, Datuk Salahudin Ayub.

Salah satunya sikap Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri melengah-lengahkan pelantikan senator dari kalangan parti PH.

“Saya masuk (jadi senator) selepas PH jatuh tapi ada 16 kekosongan senator pada zaman PH. Tun (Mahathir) macam sudah simpan orang untuk dilantik kemudian di Dewan Negara macam Zahid Mat Arip dan Tengku (Datuk Seri) Zafrul (Tengku Abdul Aziz) dan lain-lain.

“Ia (Dewan Negara) kini ia dikuasai oleh sebelah sana (kerajaan Perikatan Nasional).


“Bagi saya kejatuhan PH dirancang dari awal, strateginya berjalan sendiri sampai masa tup jatuh, cuma tarikh tidak tentu, tidak tetap,” katanya dalam Sembang Santai Politik : Kejatuhan PH adalah satu rancangan di DHM Channel semalam.

Beliau berkata sikap Mahathir melambat-lambatkan pelantikan senator itu dianggap sengaja dibuat sedangkan dalam banyak isu lain, Ahli Parlimen Langkawi itu sentiasa membuat keputusan segera.

Husam juga berkata, setiap sesuatu yang berlaku ada petanda oleh Allah termasuk kiamat yang ada tanda-tanda kecil dan besar sebelum ia berlaku.

Justeru sekiranya pembangkang sekarang mahu menggunakan jurutera yang sama (Mahathir) bagi merampas kerajaan, ia hanya membuang masa.

“Kita (PH) sangkut kerana tak move forward. Banyak cara lagi, bukan kata senang tapi selain Tun M jadi PM (semula) ada beratus lagi jalan yang ada,” katanya lagi.


Mengenai kononnya ada kerjasama antara Mahathir dengan Tengku Razaleigh Hamzah untuk menubuhkan kerajaan perpaduan juga dianggapnya membuang masa.

“Saya dengar Tun jadi enam bulan jadi PM, Ku Li pun enam bulan, ini buang masa. Saya sudah sampaikan salam kepada orang yang baik dengan Ku Li, baik dia kerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kalau makan kari Pelita (kedai mamak) hari-hari mana nak?” soalnya sambil menegaskan pucuk pimpinan parti perlu mengambilkira pandangan minoriti dalam PH.

Baru-baru ini, Husam meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden Amanah dan Pengerusi Amanah Kelantan namun masih setia menjadi ahli kepada parti pimpinan Mohamad Sabu itu.- MalaysiaGazette