Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Keretapi KTMB tergelincir di Segamat




SEGAMAT: Seramai 10 penumpang berdepan detik cemas apabila tren dinaiki mereka tergelincir di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Genuang di sini semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian pukul 2.40 pagi, kesemua penumpang dan kru KTMB selamat tanpa cedera.

Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah KTMB, Datuk Kamarulzaman Zainal berkata, tren terbabit dalam perjalanan dari Stesen Gemas ke Stesen Johor Bahru Sentral sebelum tergelincir di Kilometer 595, Genuang.

“Insiden itu melibatkan dua  gerabak iaitu gerabak penumpang dan sebuah lokomotif. Landasan utama masih boleh digunakan serta tidak menghalang perkhidmatan tren lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Menurut beliau, kejadian itu menyebabkan jadual perjalanan membabitkan sektor selatan antara Gemas dan Johor Bahru dijangka sedikit lewat.

KTMB memohon maaf kepada para penumpang yang terlibat dalam kejadian itu.

“KTMB menyediakan kenderaan alternatif bagi membolehkan penumpang meneruskan perjalanan ke Stesen Johor Bahru Sentral,” katanya.

Jelas beliau, usaha baik pulih sedang dilakukan selain siasatan terperinci bagi mengenal pasti puncanya.

Katanya, siasatan turut membabitkan badan di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD). – UTUSAN