Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Najib ajak umat Islam hayati erti sebenar Hijrah agar tidak lagi ditipu PH



Bismillahirrahmanirrahim,

Syaidina Abu Bakar RA telah lama bersedia untuk berhijrah tetapi Nabi Muhammad SAW menahannya kerana mahu menunggu sehingga mendapat izin dari Allah SWT.

Syaidina Abu Bakar terus menunggu dengan harapan beliau dapat berhijrah bersama Baginda.

Syaidatina Aisyah RA dalam peristiwa ini berkata: “Ketika kami di rumah Abu Bakar, waktu tengahari, tidak semena-mena Rasulullah SAW datang dalam keadaan mukhanna (tutup muka).
Abu Bakar RA tahu ada sesuatu yang tidak kena.



Apabila dibuka pintu, Nabi SAW bersabda: “Keluarkan sesiapa yang ada dalam rumah”.

Abu Bakar berkata: “Sesungguhnya tidak ada sesiapa kecuali keluarganya (Aisyah). Nabi SAW masuk dan menjelaskan kepada Abu Bakar Baginda telah diberi izin oleh Allah untuk berhijrah ke Madinah”.

Abu Bakar berkata: “Bagaimana jika aku menemani mu?”

Lantas dipersetujui Rasulullah SAW.

Inilah titik tolak penghijrahan Nabi SAW dari Mekah ke Madinah yang menjadikan ianya momen yang sangat penting dalam dunia Islam sehingga kalendar Islam juga diambil dari ketetapan hari ini.

Al Hafidz Ibnu Hajar Al-Asqalani رحمه الله dalam Fathul Bari 7/335 telah menyatakan bahawa penetapan tahun hijriyah adalah berdasarkan dari firman Allah,

‎لَمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَىٰ مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَنْ تَقُومَ فِيه َ
“Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (masjid Quba), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya.” [QS. At-Taubah: 108].

Dalam ayat ini, Ibnu Hajar menyatakan ‘hari pertama’ itulah hari kemuliaan Islam, hari pertama Nabi SAW menyembah Rabnya dengan rasa aman, hari pertama dibangunnya masjid iaitu Masjid Quba yang terletak di Kota Madinah kira-kira dua batu daripada Masjid an-Nabawi.



Atas dasar itulah Khalifah Umar bin Khatab menetapkan kalendar hijriyah adalah bermula sewaktu hijrah Nabi SAW ke Madinah yang menjadi pedoman bagi kaum muslimin sehingga ke hari ini.

Ulama telah menyimpulkan, hijrah adalah memberi maksud keluar atau berpindah tempat, iaitu berpindah dari negeri kafir ke negeri Islam atau berpindah dari negeri yang banyak fitnah ke negeri yang tidak banyak fitnah atau ke negeri yang aman.

Namun jika diperincikan hijrah itu boleh dipecahkan kepada tiga iaitu:
- hijrah meninggalkan tempat
- hijrah meninggalkan perbuatan
- hijrah meninggalkan seseorang

Hijrah keluar dari tempat sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi SAW yang meninggalkan Mekah yang ketika itu adalah negara kuffar menuju ke Madinah negara Islam. Ini adalah kemuncak hijrah bagi orang Islam.



Kedua, hijrah meninggalkan perbuatan-perbuatan yang dilarang kerana Allah. Saya kira umum maklum tentang hal ini.

Dan hijrah yang ketiga pula adalah meninggalkan atau memulaukan orang-orang yang melakukan apa yang terlarang, orang-orang yang tidak baik, sama ada kepada agama, negara, bangsa mahupun kepada diri secara amnya.

Suka saya untuk mengaitkan hijrah yang ketiga ini dengan situasi di negara kita Malaysia.

Sebagaimana yang telah berlaku, ada yang telah meninggalkan orang-orang UMNO, ada yang telah meninggalkan Barisan Nasional semata-mata mahu menuju dan mendekati Pakatan Harapan.
Mungkin mereka fikir itu lebih baik.

Malangnya itu bukanlah hijrah, kerana semua telah maklum ‘penghijrahan’ itu tidaklah menjadikan negara lebih baik, tidaklah menjadikan rakyat lebih baik.




Tanyalah kepada mereka yang diberhentikan kerja, adakah itu penghijrahan yang baik?

Tanyalah kepada mereka yang ditarik bantuan, adakah itu penghijrahan yang lebih baik?

Tanyalah kepada mereka yang dijanjikan sejuta peluang pekerjaan yang berkualiti, adakah penghijrahan yang mereka mahukan itu berlaku?

Tanyalah kepada mereka yang dijanjikan dengan penghapusan hutang PTPTN dan hutang Felda, adakah hijrah yang mereka mahukan itu tercapai?

Adakah aset-aset umat Islam semakin bertambah? Atau semakin berkurang, dilelong oleh orang yang mereka tuju itu.

Sudah tentulah tidak.




Sempena tahun baru Maal Hijrah hari ini, saya dengan rendah diri ingin mengajak semua rakyat Malaysia hayatilah maksud sebenarnya hijrah.

Janganlah kita tertipu lagi dengan orang-orang yang tidak baik seperti itu.

Janganlah terpedaya lagi dengan orang-orang yang menjanjikan bulan dan bintang kerana hakikatnya itu bukanlah erti penghijrahan yang sebenar.

Iyalah, siapa yang tidak pernah melakukan kesilapan. Semua melakukan kesilapan termasuk saya.
Mungkin juga tidak keterlaluan untuk saya mengajak sahabat-sahabat semua.

Kembalilah menyokong UMNO dan BN yang selama ini secara faktanya telah menjaga kebajikan rakyat secara amnya.

Berhijrahlah kepada orang-orang yang lebih baik.

Selamat menyambut Maal Hijrah 1442.

Bismillahirrahmanirrahim Syaidina Abu Bakar RA telah lama bersedia untuk berhijrah tetapi Nabi Muhammad SAW menahannya...
Posted by Najib Razak on Wednesday, 19 August 2020