Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Lim Guan Eng didakwa lagi, guna kedudukan untuk suapan RM3.3 juta pula


BUTTERWORTH - Kes rasuah bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng berhubung projek Terowong Pulau Pinang akan dipindahkan ke Mahkamah Kuala Lumpur bersama kes rasuah yang melibatkan syarikat sama.

Guan Eng, 60, yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, Guan Eng semasa menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa telah menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3,300,000 sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan projek itu yang bernilai RM6,341,383,702.


Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, Georgetown di sini antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

Pertuduhan terhadap Guan Eng dikemukakan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Akram Gharib manakala Guan Eng diwakili peguam Gobind Singh Deo dan Ramkarpal Singh.


Hakim membenarkan jaminan dilaksanakan bersama kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur iaitu RM1 juta dan dua orang penjamin bagi pertuduhan tersebut dan pasport antarabangsa serta pasport diplomatik diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan sebutan kes pada 9 September 2020.

Jumaat lepas, Guan Eng turut didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta suapan bagi membantu syarikat sama dilantik untuk melaksanakan projek serupa dan beliau dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan dua orang penjamin.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang mencetuskan kontroversi itu bakal menghubungkan pulau ini dari Persiaran Gurney dengan tanah besar di Bagan Ajam dengan anggaran kos RM6.3 bilion dan ia dijangka bermula pada 2023. - Bernama