Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Speaker mohon kes 1MDB ditamatkan lebih awal, Najib perlu berbahas isu penting di Parlimen


PARLIMEN l Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun mempertahankan keputusannya menulis surat kepada Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu, yang memohon supaya perbicaraan kes penyelewengan dana 1MDB Najib Razak ditamatkan lebih awal.

Ini supaya Ahli Parlimen Pekan itu boleh berbahas di Dewan Rakyat.

Menurut Azhar, surat tersebut hanya sekadar budi bicara permohonan untuk dipertimbangkan dan bukan arahan kepada mahkamah.

“Di UK, parlimen adalah tertinggi, tetapi di sini (Malaysia) kuasa-kuasa itu sama rata.


“Saya mohon pertimbangan Yang Arif Hakim agar menimbangkan untuk tangguh perbicaraan awal. Saya tak perintah,” kata Azhar pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Chang Lih Kang (PH- Tanjung Malim) yang mahu penjelasan berkenaan perkara tersebut.

Minggu lalu, hakim Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan lisan yang dibuat peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah untuk menamatkan prosiding pada Khamis sekitar pukul 1.30 tengah hari supaya bekas perdana menteri itu boleh menghadiri sidang Parlimen.

Bagaimanapun, pada Khamis lalu, peguam Najib kemudian mengemukakan surat daripada Azhar.


Hal itu menyaksikan Sequerah memutuskan untuk melanjutkan prosiding semasa waktu rehat makan tengahari dan hanya menghentikannya pada pukul 3.15 petang.

Najib kemudian sempat ke Parlimen untuk membahas titah Diraja di Dewan Rakyat, dengan menggesa agar pihak bank berkorban untuk melanjutkan tempoh moratorium kepada pelanggan.

Chang kemudian menyoal Azhar jika beliau ingin menetapkan duluan (precedent) di mana Speaker boleh mengemukakan surat penangguhan perbicaraan bagi memastikan persidangan Dewan Rakyat tidak terganggu.

Kata Chang, slot Najib untuk berdebat juga boleh diawalkan atau ditunda ke hari lain.

Azhar kemudian membalas dengan berkata bahawa terdapat juga ahli parlimen lain yang pernah diberi kelonggaran yang serupa sebelum ini.Tambahnya beliau juga mempunyai budi bicara berkenaan perkara tersebut. -MalaysiaKini