Pilihanraya Sabah: Anwar seru rakyat Sabah sokong calon PM pilihan Mahathir


Beberapa kepimpinan parti politik hari ini menyatakan kesiapsiagaan masing-masing menghadapi pilihan raya negeri Sabah berikutan pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini.

Majlis Presiden Pakatan Harapan, yang diwakili Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, dalam kenyataan hari ini berkata pembubaran DUN Sabah itu dapat mengembalikan mandat kepada rakyat serta menyatakan sokongan penuh mereka kepada Mohd Shafie.

“Kami menyeru rakyat Sabah untuk menyokong Mohd Shafie dan parti-parti yang bersekutu dengannya dalam pilihan raya negeri akan datang untuk menetapkan semula politik nasional dengan mengangkat politik berprinsip serta menolak politik lompat parti dan memulihkan mandat rakyat yang mana kuasa rakyatlah yang menjadi faktor penentu berbanding kuasa wang ringgit,” menurut kenyataan itu.



Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam laman sosial Facebook memberi peringatan kepada Pemuda Umno Sabah supaya bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya negeri tersebut.

“Bersiapsiagalah wahai Pemuda-Pemudaku Umno Sabah! Nampaknya gendang sudah dipalu. Kembalikan maruah orang Sabah. Radu Tatap Radu!” katanya dengan tanda pagar #RaduTatapRadu #BNTatapDiHati #BangkitKembali #PemudaTerasKebangkitan.

Ketua Pemuda PAS Malaysia Khairil Nizam Khiruddin pula menyatakan kesediaan untuk menjalin kerjasama dengan Umno, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan parti Gabungan Bersatu Sabah (GBS) sekiranya pilihan raya negeri diadakan.



“Kita bersiap siaga dengan apa jua kemungkinan termasuklah pilihan raya negeri Sabah.

"Kita berharap keputusan pilihan raya negeri memihak kepada kita dengan majoriti yang besar supaya lebih stabil dalam memerintah Sabah,” katanya kepada Bernama.

Mohd Shafie pada sidang media khas di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah semalam mengumumkan pembubaran DUN Sabah untuk memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan dalam tempoh 60 hari selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Bekas ketua menteri Sabah Tan Sri Musa Aman pula berpendapat pembubaran DUN Sabah untuk memberi laluan kepada pilihan raya adalah tidak perlu serta membuang masa dan wang selain memudaratkan nyawa rakyat ketika negara berdepan penularan pandemik Covid-19.

Pada sidang media khas di kediamannya, Musa juga mendakwa mempunyai majoriti mudah iaitu 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada 65 untuk menubuhkan sebuah kerajaan baharu tanpa perlu melalui proses pilihan raya.

- Bernama





Join our Telegram Channel
Telegram


Pilihanraya Sabah: Anwar seru rakyat Sabah sokong calon PM pilihan Mahathir Pilihanraya Sabah: Anwar seru rakyat Sabah sokong calon PM pilihan Mahathir Reviewed by Tun Carlos on July 31, 2020 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.