Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Isu Al-Jahiliah: Harleena Pahlavy terharu dengan sokongan, tak gentar jadi berani dan patriotik di TV



Pengacara Bernama TV, Harleena Pahlavy yang menggelar stesen penyiaran antarabangsa, Al Jazeera sebagai Al Jahiliah mengatakan beliau seorang individu patriotik.

"Berani dan patriotik di saluran TV Malaysia ada akibatnya sendiri," kata pengacara sambilan itu di Twitter lewat semalam.

Hari ini, beliau juga menyatakan berasa terharu dengan sokongan yang telah diterimanya.




Kenyataan itu dibuat selepas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah berkata tindakan telah diambil terhadap Harleena.

"Kita tak setuju dengan satu laporan saluran berita itu. Tapi kita tak boleh menggelarnya dengan panggilan itu.

"Saya dimaklumkan oleh pengerusi Bernama yang tindakan telah diambil," kata Saifuddin pada hantaran di Twitter.

Saifuddin bagaimanapun, tidak menjelaskan lebih lanjut tindakan yang telah diambil terhadap Harleena.

Menurut laporan dari Free Malaysia Today (FMT), mereka difahamkan hos itu sudah digantung tugas dan sedang mendapatkan pengesahan daripada Bernama berhubung tindakan berkenaan.

BACA: Gelar Al-Jazeera sebagai "Al-Jahiliah", pengacara Bernama digantung tugas.



Ketika mengakhiri program Malaysia Petang Ini yang disiarkan Isnin lalu di Bernama TV, Herleena berkata: "Al Jazeera, ‘you shut up’.”

Herleena juga dalam rancangan itu mendakwa laporan Al Jazeera tidak beretika dan tidak berasas.

Sementara itu semalam,  ketika ditanya keadaannya di Twitter Harleena menjawab: "Saya pasti tidak sedih."



Insiden itu berlaku susulan dokumentari kontroversi Al Jazeera yang mendakwa berlaku penganiayaan terhadap pendatang tanpa izin di negara ini semasa kerajaan menangani wabak Covid-19.



"Locked Up in Malaysia's Lockdown" disiarkan menerusi program 101 East pada hujung minggu lalu, di mana Al Jazeera mendakwa serbuan imigresen dilakukan  "ala tentera",  kanak- kanak bawah umur digari dan pendatang ditahan di kawasan yang sempit.

Laporan Al Jazeera itu juga mempertanyakan jika tindakan keras tersebut merupakan langkah "praktikal berdasarkan realiti untuk menangani wabak" atau pun tindakan "perkauman."

Laporan itu meliputi wawancara dengan pendatang asing, NGO, organisasi masyarakat sivil dan persatuan perniagaan.

Laporan yang memberi imej buruk kepada Malaysia itu telah menimbulkan kemarahan rakyat dan juga kerajaan, yang menyangkal dakwaan mengambil tindakan bersikap perkauman terhadap pendatang asing.

Kerajaan juga menjelaskan tindakan yang diambil terhadap pendatang asing adalah mengikut undang-undang sama seperti yang dipraktikkan oleh negara-negara lain.

Ini mendorong siasatan polis terhadap penyiar antarabangsa yang berpusat di Qatar itu, manakala Jabatan Imigresen sedang mengesan seorang pendatang yang diwawancara dalam dokumentari terbabit.

-Tun Carlos