Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Saya akui gagal bawa pulang Jho Low, saya bukan Superhero -KPN


KUALA LUMPUR : Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memohon maaf kerana gagal membawa pulang ahli perniagaan yang dikehendaki, Low Taek Jho atau Jho Low.

Menurut Abdul Hamid, beliau telah berusaha sedaya upaya untuk memastikan individu yang sedang dijejaki bagi merungkai skandal kewangan terbesar negara, 1MDB dibawa ke muka pengadilan.

"Saya akui gagal bawa pulang Jho Low. Tetapi saya gagal bukan tidak buat apa-apa, saya bukan kononnya superhero boleh berbuat demikian. Tetapi janji saya, saya berusaha," kata Abdul Hamid dalam sidang di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini pada Isnin.





Sepanjang mengesan Jho Low, Abdul Hamid berkata, beliau telah mendapat banyak bantuan dari pihak di dalam dan luar negara.

Dalam masa sama, beliau turut berhadapan dengan pelbagai rintangan oleh pihak tertentu untuk membawa balik Jho Low ke Malaysia.

"Ayahnya (Ayah Jho Low) sekali terlibat, paling terbaharu usaha mengesan aset milik keluarga perompak (Jho Low) ini menemui beberapa kejayaan iaitu penemuan aset baharu. Kita (polis) akan ambil langkah untuk menyita dan merampas," tegas beliau lagi.





Aset-aset yang diumumkan Abdul Hamid itu merupakan premis kediaman di dalam negara yang difahamkam bernilai jutaan ringgit.

Sekalipun belum berjaya mengesan Jho Low, beliau berikrar tidak akan putus asa menjejaki lelaki berusia 38 tahun itu.

Pada Mei tahun lalu, Abdul Hamid pernah memberitahu, Jho Low akan dibawa pulang dalam waktu terdekat.





Tanpa mendedahkan butiran lanjut, beliau berkata pihaknya yakin dapat membawa Jho Low pulang ke negara ini untuk dibicarakan ke muka keadilan.

“Insya-Allah bila saya kata saya yakin kami boleh bawa dia (Jho Low) balik dalam masa terdekat maka dalam masa terdekatlah,” katanya.

Selang dua bulan selepas itu, Abdul Hamid mendedahkan pelbagai alasan yang tidak dapat diterima akal diberikan oleh pihak berkuasa negara yang dipercayai menjadi lokasi persembunyian Jho Low.





Ini, katanya, termasuklah mendakwa ahli perniagaan dalam buruan itu sudah membuat pembedahan wajah dan kini menyerupai beruang dan berjalan seperti seladang.

“Kononnya dia (Jho Low) ini sekarang susah hendak dikesan. Dia sekarang sudah menyerupai beruang dan ada kalanya bila berjalan itu, dia menyerupai seekor tambadau (seladang).

"Maka dari belakang bila kita lihat dia macam tambadau. Begitulah rupanya,” kata Abdul Hamid.

-Astro Awani