Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kes Bunuh: Tiga sahabat terlepas hukum gantung


Muar: Tiga sahabat terlepas hukuman mati sebaliknya dijatuhi hukuman penjara selepas didapati bersalah membunuh tanpa niat seorang lelaki dengan memukul mangsa menggunakan kayu, parang dan rotan di Kluang, sembilan tahun lalu.

Rengaidoral Perumal, 34, yang juga tertuduh pertama, Gopu Lakhsmanan, 45, (tertuduh kedua) dan Suresh Vellasamy, 44, berdepan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana membunuh Aris Nakam.


Mereka didakwa membunuh lelaki berusia 44 tahun ketika itu kerana dipercayai berpunca daripada perebutan kawasan pengedaran dadah di kebun sawit, Kampung SC, Layang-Layang, Kluang antara jam 6.30 petang, 13 Mac hingga jam 8 pagi, 14 Mac 2015.

Mengikut fakta kes, abang mangsa menumpang motosikal rakan ke lokasi dan terkejut apabila mendapati adiknya dalam keadaan mencangkung dipukul oleh tertuduh.

Abangnya meminta mereka menghentikan perkara itu namun dia diacukan parang di belakang leher sebelum diminta beredar dan tidak masuk campur.

Mangsa dilihat dalam keadaan menangis sambil dipukul tertuduh sebelum ditemui atas pelepah kelapa sawit dalam keadaan parah namun masih bernyawa.

Mangsa dibawa ke Hospital Enche' Besar Hajjah Kalsom, Kluang sebelum disahkan mati.

Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Datuk Seri Shamsulbahri Ibrahim membuat keputusan itu selepas mengambil kira keterangan saksi pendakwaan dan juga keterangan akuan bersumpah yang dikemukakan tertuduh.

Dalam penghakiman itu, Shamsulbahri yang membuat keputusan itu memberitahu, pertuduhan pilihan dikenakan terhadap semua tertuduh berdasarkan kepada keterangan beberapa saksi pendakwaan termasuk pakar patologi dari Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

"Dalam kes ini, mahkamah mengambil kira keadaan mangsa ketika itu masih bernyawa, kecederaan dialami selain tiada niat melupuskan mangsa sebaik kejadian itu berlaku.

"Mahkamah berpendapat, elemen ini boleh digunapakai dan atas sebab itu, ketiga-tiga tertuduh diberikan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (a)," katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhi hukuman penjara 13 tahun terhadap Rengaidoral manakala Gapu dan Suresh, masing-masing 15 tahun dengan kesemua hukuman berjalan bermula daripada tarikh ditahan, 14 Mac 2015.

Pihak pendakwaan diketuai Putera Amirool Faez Suhasi manakala Rengaidoral diwakili G K Sritharan, Anuar Raof (Gopu) serta B Mariammah dan Ramesh Vasan (Suresh).

Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan turut mengemukakan kepada mahkamah berhubung rekod kesalahan lampau membabitkan tertuduh kedua dan ketiga.

Hujahnya, mahkamah wajar mempertimbangkan hukuman berat terhadap tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam melangkaui kepentingan tertuduh.

"Sebanyak 42 kecederaan ditemui pada mangsa membuktikan mangsa dipukul tanpa diberi peluang untuk mempertahankan diri." katanya.


-Harian Metro