Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Lembah Klang akan tenggelam menjelang 2050, kata Ahli Parlimen PH


KUALA LUMPUR: Charles Santiago (PH-Klang) berkata, bandar itu akan berdepan lebih banyak banjir besar, selain bakal tenggelam menjelang 2050 akibat perubahan iklim.

Ahli Parlimen DAP itu merujuk kajian Centre for Governance and Political Studies (Cent-GPS) bahawa sebahagian bandar pesisiran pantai, termasuk Klang akan tenggelam dan kos untuk projek tebatan banjir akan meningkat, terutama di bandar pesat membangun.

Kajian tersebut telah mengukur peningkatan paras air laut menggunakan model “Shuttle Radar Topography Mission” (SRTM).

Beliau turut merujuk kajian “Elevation Data Triple Estimates of Global Vulnerability to Sea-Level Rise and Coastal Flooding terbitan Nature Communications”, yang menjangkakan sebahagian Klang akan tenggelam akibat kenaikan paras air laut dan perubahan iklim.

“Sehingga hari ini, Klang dilanda banjir lima kali dalam lima bulan. Yang teruk sekali ialah banjir pada 17 dan 18 Dis tahun lalu.

“Klang merupakan sebuah bandar pelabuhan dengan kepadatan penduduk tinggi dan amat memerlukan dana tambahan bagi meningkatkan kapasiti sistem saliran, menambah kapasiti pintu air, membina kolam tadahan banjir dan meninggikan ban di pesisiran pantai,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat.


Beliau berkata, perubahan iklim dengan hujan berterusan dan taburan air terlalu tinggi menyebabkan sistem saliran di Klang tidak dapat menampung kapasiti air dalam jumlah besar.

Justeru, beliau mencadangkan kerajaan memperkenalkan konsep “sponge city” yang diamalkan China atau “drip irrigation” di India sebagai langkah jangka panjang untuk tebatan banjir.

“Saya juga mencadangkan supaya Kementerian Alam Sekitar dan Air menubuhkan Suruhanjaya Khas Banjir untuk menyiasat dan memberi cadangan bagi rancangan keseluruhan pelan tebatan banjir supaya bandar ini tidak tenggelam.

“Siasatan ini boleh diketuai pakar tempatan dan luar negara untuk menyiasat bencana banjir dan menyediakan pelan penyesuaian iklim yang lebih komprehensif,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan “Disaster Relief Force” dan pusat latihan mengenai kerja menyelamat berkaitan banjir ditubuhkan.

“Institusi seperti ini boleh melengkapkan kerja NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara), yang ketika ini dilihat lemah,” katanya.

-FMT