Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

LAPORAN: SD sokong Ismail Sabri PM, Hamzah TPM sedang dijalankan



KUALA LUMPUR: Di sebalik desas-desus Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meletakkan jawatan esok, beberapa pemimpin kanan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedang mengadakan mesyuarat di sebuah hotel di ibu negara.

Beberapa media melaporkan, kelibat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang juga Naib Presiden UMNO dilihat memasuki hotel berkenaan kira-kira pukul 2.45 petang.

Selain itu, difahamkan, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional, turut berada di hotel berkenaan.

Portal The Vibes melaporkan, usaha sedang giat dijalankan untuk mengumpul surat akuan bersumpah (SD) bagi membolehkan Ahli Parlimen Bera itu dilantik sebagai Perdana Menteri seterusnya.


Laporan yang sama menyebut, SD itu turut menyokong Hamzah, yang juga Ahli Parlimen Larut sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi menggantikan Ismail Sabri.

“Untuk menawarkan jawatan berkenaan Naib Presiden UMNO Ismail Sabri – Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan kini – membawa maksud ia satu kekalahan untuk Bersatu.

“Biarpun Hamzah masih boleh mengekalkan portfolionya, iaitu sebagai Menteri Dalam Negeri (jika dilantik sebagai TPM),” menurut laporan itu lagi.

Sementara itu, portal The Malaysian Insight memetik sumber sebagai berkata, Muhyiddin akan mempersembahkan dua nama calon Perdana Menteri yang baharu, sewaktu beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada Isnin.


Sumber tersebut memberitahu portal berkenaan, dua nama yang akan dipersembahkan ialah Ismail Sabri sendiri, serta Menteri Kanan Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang juga merupakan Ahli Parlimen Sembrong.

Bagaimanapun difahamkan, majoriti pimpinan kanan dalam Bersatu tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan, dan masih merasakan parti mereka perlu menerajui kerajaan yang baharu.