Notis Muflis: Najib dedah Tg Zafrul pernah cuba bantu setelah sedar kesilapan LHDN, tapi dihalang


Saya menyangka bahawa hari semalam akan berlangsung seperti rutin harian setiap kali saya menghadiri perbicaraan di mahkamah sejak 3 tahun yang lalu.

Namun sangkaan saya berakhir dengan sesuatu yang tidak disangka.

Setelah selesainya prosedur mahkamah semalam, saya ditemui wakil Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di kediaman peribadi saya di mana saya diberikan notis muflis berkaitan dengan ringkasan penghakiman cukai pendapatan saya dari 2011 hingga 2017!

Mungkin tindakan memberi saya notis muflis pada hari pertama rayuan kes saya didengari adalah bertujuan untuk menabur garam ke luka ketidakadilan yang masih berdarah atau untuk terus memalukan saya.

Bagaimana ia terjadi?

Kes cukai ini dikenakan terhadap saya oleh kerajaan PH dan langsung tidak mempunyai alasan kukuh atau merit. Ia kemudian diteruskan oleh kerajaan PN.

Ia berkaitan sejumlah RM3 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun yang menggunakan nama saya di mana akaun itu diwujudkan bagi menerima sumbangan derma (sebagaimana didedahkan di mahkamah), dan RM642 juta dipindahkan secara terus dari Kementerian Kewangan Arab Saudi (dan ini juga dibuktikan di mahkamah). Jumlah RM2.6 bilion yang sangat popular (sebenarnya RM2 bilion) sudah DIPULANGKAN empat bulan kemudian.


Ini sebenarnya dibuktikan sekali lagi beberapa hari lalu dalam mahkamah apabila pendakwaan kata:

"Faten Hadni berkata, analisis dan jejakan kewangan menggunakan kaedah FIFO ke atas penyata akaun bernombor 9694 milik Najib mendapati sebanyak RM2,034,350,000 telah dipulangkan semula ke akaun Tanore." Rujuk di sini.

Biarpun sebagai Perdana Menteri, saya sentiasa membayar cukai pendapatan tanpa gagal tetapi cukai zalim berjumlah RM1.74 bilion (naik lagi dengan penalti RM46 juta sejak tahun lepas) ini adalah pentaksiran tambahan dan penalti yang tidak munasabah.

Sebelum ini, LHDN pernah keluarkan kenyataan di mana derma politik tidak dikenakan cukai.

"Sumbangan Politik Tidak Dikenakan Cukai - CEO LHDN". Rujuk di sini.

Selain itu, semua wang yang diterima dalam akaun khas sudah digunakan bagi tujuan CSR serta politik dan bukan untuk tujuan peribadi - termasuk sumbangan kepada masjid di Malaysia dan bantuan banjir selama 4 tahun termasuk banjir besar pada 2014.

Bayangkan saya dikenakan penalti cukai RM1.7 bilion sebab gunakan wang dari Arab Saudi untuk membantu mangsa banjir dan masjid-masjid seluruh negara selama 4 tahun!

Kita perhatikan wang digunakan ini semua adalah untuk rakyat, tempat beribadah dan membantu mereka yang memerlukan tanpa perlu terhutang budi pada mana mana syarikat kroni.


Kesemua akauntan percukaian dan peguam percukaian termasuk yang berpengalaman di negara ini bersetuju bahawa kerajaan tiada merit untuk mengenakan penalti seperti itu dan tindakan itu sebagai tidak munasabah.

Dari zaman PH sehingga zaman PN kini, tiada seorang pun yang berani menjawab kenapa wang yang dipulangkan kepada penghantar selepas 4 bulan dikira sebagai pendapatan peribadi dan dicukai serta dikenakan penalti 40% +10% +5%.

Bagaimanapun, undang-undang percukaian di negara ini terdedah kepada penyalahgunaan di mana prinsipnya adalah seseorang itu perlu melangsaikan penalti dahulu sebelum merayu dengan Suruhanjaya Khas Cukai Pendapatan.

Dan jika anda tak boleh menjelaskannya, LHDN boleh isytihar anda muflis.

Pada November tahun lalu, menteri kewangan ketika ini diberi taklimat tentang kes cukai ini di mana beliau datang berbincang dengan saya untuk bertanya mengapa saya berkeras mahukan pengeluaran KWSP. Selepas beliau dapat tahu tentang derma negara asing dan dana dipulangkan empat bulan kemudian dikenakan cukai, beliau pergi ke LHDN dan meminta agensi itu berbincang dengan saya untuk jalan penyelesaian.

Bagaimanapun, minggu lepas beliau diberitahu oleh bosnya, untuk tidak lagi terlibat dengan isu cukai ini dan serahkan kepada bosnya.

Tiba tiba, rundingan dihentikan dan notis bankrap ini diserahkan kepada saya.


Saya yakin, masa notis muflis ini adalah berkaitan dengan 3 isu:

1. Undian dijalankan penyelidikan UUM dan Utusan TV melibatkan 60,000 responden menunjukkan yang saya adalah PM pilihan bagi PRU15 dengan separuh dari undian manakala PM pada masa ini jauh di belakang dan hanya menduduki tempat keempat.

BN pula juga gabungan pilihan pertama dalam poll manakala PN di tempat tercorot.

2. Keputusan PAU UMNO untuk tidak bekerjasama dengan PPBM/PN ketika PRU15.

3. Kesimpulan terkini kes pelupusan harta di mana pendakwaraya gagal membuktikan barangan dan wang yang disita diperolehi dari dana 1MDB. Malah, hakim turut menolak afidavit pendakwaraya yang dikemukakan pada saat akhir. Hakim dijangka akan membuat keputusan untuk kes ini bulan depan.

4. Bermulanya rayuan kes SRC di mana kami mempunyai 307 alasan kukuh mengapa hakim tidak berpengalaman yang tidak memiliki pengalaman kendali kes jenayah dan tiba tiba dipindahkan dari mahkamah sivil menggantikan hakim jenayah berpengalaman selepas perbicaraan bermula, membuat keputusan salah dengan mensabitkan saya. Peguam saya yakin saya mempunyai peluang yang baik dalam rayuan ini apatah lagi ahli keluarga salah seorang saksi pendakwaan didapati menerima ratusan juta dari Jho Low selepas sabitan saya.


Apakah kesan akibat dari notis bankrap ini?

1. Saya akan kehilangan status Ahli Parlimen Pekan dan pilihanraya kecil akan diadakan.

2. Saya tidak lagi layak untuk bertanding dalam pemilihan parti dan pilihanraya.

3. Saya akan kehilangan semua wang simpanan yang saya kumpulkan semasa bekerja dalam perkhidmatan kerajaan di mana ia sekarang digunakan untuk menyara hidup dan membayar peguam saya.

Bagaimana saya nak membela diri dan membersihkan nama saya dalam kes-kes mahkamah jika saya dibankrapkan, akaun bank saya dibeku, pendapatan dari jawatan ahli parlimen dihentikan dan akibatnya, saya tidak dapat mengupah peguambela?

4. Saya tidak akan mempunyai wang lagi untuk bayar fi peguam saya bagi menjalankan tugas pembelaan di mahkamah.

5. Saya tidak akan terima kembali barangan dan wang yang disita biarpun jika saya menang kes itu.


Melihat ke depan:

1. Saya tidak akan tunduk kepada individu yang menyalahgunakan undang-undang negara ini untuk menzalimi saya atas dasar politik dan ketamakan untuk berpaut pada kuasa.

2. Saya akan terus bersuara demi rakyat Malaysia.

3. Saya telah meminta peguam untuk mendapatkan perintah penangguhan hukuman.

Saya juga dengan rendah diri meminta semua akauntan cukai, peguam percukaian dan NGO untuk meneliti kes percukaian ini bagi memberi pandangan sama ada ia mempunyai merit atau sebaliknya.

Tidak ramai yang mengetahui, terutamanya dikalangan mereka yang masih cuba untuk terus menggertak dan mengugut saya, bahawa pengalaman yang saya lalui dari hari ke hari sejak tiga tahun lalu telah menjadikan saya lebih kuat dalam mendepani cabaran seperti ini.

Saya tahu, jauh di sudut hati saya, bahawa niat disebalik pemberian notis ini melangkaui sekadar prosedur perundangan dan pelaksanaan yang harus dipenuhi oleh pihak berkuasa.

Setelah saya menghadami pemberian notis tersebut, saya tidak boleh melepaskan soretan pemikiran yang membelenggu saya sejak sekian lama.


Sejurus tamatnya Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, wujud beberapa insiden dan tuduhan tidak disenangi yang dihunuskan kepada saya dan beberapa individu lain di dalam parti.

Mungkinkah dalam kerakusan sesetengah pihak dalam persiapan Pemilihan Parti yang dijangka akan berlaku tidak lama lagi, ada yang berkompromi dengan musuh dan secara tidak lansung mendedahkan diri mereka yang sebenar kepada saya?

Satu yang pasti buat saya adalah kegopohan mereka akan memakan diri kerana ia telah membuktikan kepada saya sesuatu yang telah lama saya syaki, iaitu terdapat lebih dari satu pihak seakan ‘invisible hand’ yang mahu bergelut untuk mengawal kuasa dalam parti UMNO dan kemudiannya, mendapat kuasa di Putrajaya.

Kerana sesiapa yang berjaya memimpin UMNO – parti yang mempunyai kuasa, pengaruh, dan pengalaman tiada tandingan – mempunyai peluang besar untuk memimpin negara suatu hari ini. Ini adalah impian yang sekian lama disorok oleh ramai pihak di dalam parti.

Sewaktu UMNO dan BN mengalami kekalahan besar di pilihan raya terdahulu, saya telah cuba melakukan yang terbaik sebagai seorang pemimpin dan melepaskan jawatan saya sebagai Presiden parti dengan rasa tanggungjawab.

Selepas itu, tahun-tahun seterusnya yang saya jalani sebagai ahli biasa parti tanpa sebarang jawatan dan tempat dalam kerajaan telah mengajar saya sikap rendah diri dan menambah kefahaman akan erti sebenar menjadi seorang pemimpin.


Kefahaman ini membuahkan kearifan yang membolehkan saya melihat dengan jelas setelah sekian lama dan membezakan di antara musuh dan rakan dalam selimut. Menerima kenyataan hidup saya sekarang dan menguatkan iman untuk mendepani cabaran akan datang.

Meneruskan perjuangan untuk menebus maruah dan kekhilafan terdahulu sewaktu saya memipin negara dan parti, bukan sahaja untuk meyakinkan diri saya, tetapi untuk parti yang amat saya sayangi dan ahli-ahlinya yang layak mendapat kepimpinan terbaik.

Saya telah berikrar untuk berkhidmat kepada parti keramat yang telah menambahbaik kehidupan jutaan rakyat di setiap lapisan generasi dengan sikap nasionalis, berwawasan dan bertanggungjawab.

Akan saya penuhi ikrar ini mengikut kemampuan yang saya ada sekarang sehingga nafas terakhir dan memastikan rakyat Malaysia terutamanya dan masyarakat Pekan khususnya, merasai khidmat yang akan terus saya semaikan.

Saya juga telah berjanji kepada diri sendiri untuk terus kuat dan tidak mengalah dalam menegakkan kebenaran demi membela diri.

Saya akan terus berdiri terus melawan setiap percubaan membuli dan menakutkan saya oleh mereka yang berkuasa supaya suatu hari nanti, sakan menamatkan tradisi khianat mengkhianati yang telah menyusup menjangkiti pembuluh darah UMNO dan membunuh setiap legasi khidmat dan perjuangan parti yang diasaskan dahulu.


Jika mereka yang bersubahat ini telah lupa atau tidak sedar, saya ingatkan semula mereka bahawa kesombongan UMNO tidak lama dahulu ditundukkan oleh rakyat. Saya tidak tahu apa yang mereka sedang fikirkan tetapi untuk saya sendiri dan kebanyakkan pemimpin akar umbi parti, kami sedar dan faham bahawa kuasa sedar sudah lama dan akan sentiasa berada di tangan rakyat.

Saya akhiri coretan hari ini dengan pesanan terhadap pengkhianat-pengkhianat ini: Jika kamu benar-benar percaya bahawa rancangan ini akan berjaya, fikirlah bagaimana rakyat di luar sana, mereka yang telah mendengar ikrar dan sumpah kita sebagai wakil rakyat untuk berkhidmat, akan fikir tentang apa yang sedang kamu lakukan.

Akhir sekali, izikan saya untuk mengingatkan semua bahawa parti keramat ini bukanlah milik sesetengah individu atau puak mahupun mereka yang berjawatan.

Sebaliknya, ia milik jutaan ahli akar umbi yang tidak pernah penat berjuang demi kelansungan parti dan menegakkan tujuan asal parti ini ditubuhkan.

Ingatlah, UMNO dahulu bukanlah UMNO yang dikenali sekarang. UMNO yang ditubuhkan untuk berkhidmat kepada rakyat adalah kunci kekuatan kita dan akan kekal selamanya seperti nadi yang menghembuskan nyawa kepada parti ini.

Dulu, Kini dan Selamanya.

Wabillahi taufiq wal hidayah.

– Najib Razak
 

Join our Telegram Channel
Telegram


Notis Muflis: Najib dedah Tg Zafrul pernah cuba bantu setelah sedar kesilapan LHDN, tapi dihalang Notis Muflis: Najib dedah Tg Zafrul pernah cuba bantu setelah sedar kesilapan LHDN, tapi dihalang Reviewed by Tun Carlos on April 07, 2021 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.