Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Bekas Setiausaha Sulit Menteri Pelancongan PH ditahan reman bersama tunang, kes rasuah tender iklan



PUTRAJAYA – Bekas Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) kepada bekas Menteri Pelancongan dan tunang wanitanya hari ini direman selama lima hari bagi membantu siasatan berkaitan rasuah sebanyak RM3.7 juta.

Ia membabitkan kontrak promosi pengiklanan kelolaan sebuah agensi kerajaan bernilai lebih RM90 juta pada 2019.

Kedua dua suspek berusia 29 dan 28 tahun yang berpakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berwarna jingga tiba di mahkamah pada pukul 10.15 pagi.

Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan permohonan perintah reman ke atas kedua-dua suspek sehingga 19 Ogos ini.


Selepas selesai proses reman kedua-dua suspek dibawa keluar dalam keadaan tangan bergari sebelum meninggalkan Istana Kehakiman sekitar 11 .05 pagi.

Terdahulu, seorang individu lelaki disyaki kenalan suspek menunggu seawal 9 pagi menegur suspek dengan kata-kata semangat berbunyi: “Steady, jangan risau”.

Kedua dua suspek hadir secara berasingan ke Ibu Pejabat SPRM di sini semalam sebelum menyerah diri pada pukul 5.45 petang dan 10 malam.

Mereka ditahan di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009.


SPRM dalam kenyataan sebentar tadi menyatakan bahawa bekas SUSK itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah Rasuah Komplek Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta 19 Ogos ini.

Pada 11 Jun lalu media melaporkan tiga pengarah syarikat, berusia antara 31 hingga 48 tahun direman SPRM selama empat hari berhubung kes itu.

Sehari selepas itu, SPRM dalam kenyataan menyatakan bahawa suruhanjaya itu sedang mengesan bekas pegawai kanan bekas menteri itu bersama tunangnya masing masing beralamat di Semporna dan Lahad Datu untuk membantu siasatan kes tersebut selepas menghilangkan diri sejak 10 Jun lalu.

Syarikat berkenaan didakwa tidak mempunyai kelayakan yang mencukupi untuk mendapat tender berkenaan, dan telah menyediakan beberapa dokumen palsu untuk melepasi kriteria berkenaan.

Selain itu, mereka juga didakwa menawarkan bayaran suapan kepada beberapa pegawai agensi terlibat bagi mengenepikan beberapa syarat asas, dan seterusnya dipilih sebagai pemenang kepada tender tersebut. – MalaysiaGazette