Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Krisis Negeri Sembilan: Undang Yang Empat desak Menteri Besar dipecat


Seremban, 21 April : Kontroversi pentadbiran Negeri Sembilan memasuki fasa lebih tegang apabila sekumpulan pemegang adat utama negeri tampil menafikan kenyataan rasmi Menteri Besar, sekali gus mendesak beliau disingkirkan daripada jawatan.

Dalam satu kenyataan bersama yang ditandatangani oleh Undang Yang Empat dan disokong Tunku Besar Tampin, mereka secara tegas menolak dakwaan Menteri Besar bahawa wujud persetujuan kolektif berhubung isu penyingkiran Undang Luak Sungai Ujong, Yang Teramat Mulia Dato’ Klana Petra Dato’ Mubarak Bin Thaha.


Menurut kenyataan itu, dakwaan bahawa keputusan tersebut dibuat secara sebulat suara dalam mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang disifatkan sebagai tidak benar dan mengelirukan. Malah, mereka menegaskan bahawa tiada sebarang keputusan rasmi atau nasihat sah dikeluarkan dalam sidang tersebut.

Lebih serius, kenyataan itu turut mempersoalkan kefahaman Menteri Besar terhadap Perkara 16 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959. Mereka menegaskan bahawa Yang di-Pertuan Besar, selaku Pengerusi Dewan Keadilan dan Undang, tidak boleh bertindak secara unilateral tanpa keputusan sah daripada dewan tersebut.

“Sebarang kenyataan bahawa nasihat telah diberikan adalah tidak teratur, bertentangan dengan undang-undang, dan tidak sah,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, pihak berkenaan turut mendedahkan bahawa dalam mesyuarat khas pada 17 April lalu, kehadiran beberapa individu termasuk waris Klana Hulu didakwa menyalahi prinsip adat dan undang-undang, sekali gus mencacatkan kesahihan proses yang berlaku.

Dalam perkembangan sama, mereka menegaskan bahawa keputusan berkaitan pelantikan atau penyingkiran Undang Luak Sungai Ujong sepatutnya mengikut adat Luak Sungai Ujong serta peruntukan undang-undang negeri, bukannya melalui proses yang dipersoalkan kesahihannya.

Kemuncak kenyataan tersebut menyaksikan serangan terbuka terhadap kepimpinan negeri apabila mereka secara jelas menyatakan bahawa Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Bin Harun, tidak lagi layak memegang jawatan.

“Kami menyatakan bahawa beliau tidak layak menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan dan sewajarnya diturunkan,” tegas kenyataan itu.

Kenyataan ini dijangka memberi tekanan besar kepada pentadbiran negeri, khususnya apabila melibatkan institusi adat yang mempunyai peranan penting dalam struktur pemerintahan Negeri Sembilan.

Setakat ini, tiada maklum balas rasmi dikeluarkan oleh pihak Menteri Besar berhubung penafian dan desakan tersebut. 

Namun, pemerhati politik melihat perkembangan ini berpotensi mencetuskan krisis keyakinan terhadap kepimpinan negeri jika tidak ditangani segera.

-TunCarlos.com