Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Tiada bukti anak VIP terbabit kematian Zara Qairina -Polis


PAPAR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan setakat ini, tiada sebarang bukti mengaitkan pembabitan anak orang kenamaan (VIP), termasuk ahli keluarga menteri dan pihak Istana Sabah, dalam kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka, menegaskan pihaknya komited memastikan setiap aspek diteliti tanpa kompromi dalam siasatan kes kematian pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan di sini itu.


"Hasil siasatan polis, setakat ini, tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan pembabitan mana-mana anak VIP dalam kes itu.

"PDRM menegaskan tiada kompromi atau perlindungan akan diberikan kepada mana-mana individu yang disyaki terbabit, tanpa mengira latar belakang mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau sekali gus menjelaskan bahawa siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan adil demi memastikan keadilan kepada mangsa serta keluarganya.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai dinasihat agar tidak menyebarkan spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan menjejaskan proses keadilan.

Terdahulu, tular dakwaan dalam media sosial yang mengaitkan anak kepada menteri, VIP serta individu berpengaruh dengan kes kematian Zara Qairina, sehingga menimbulkan pelbagai reaksi netizen.

Semalam, Istana Seri Kinabalu dalam satu kenyataan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tular dalam media sosial yang mengaitkan kes itu dengan keluarga Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.

Media semalam turut melaporkan polis sudah merakam keterangan 60 saksi berhubung kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina yang didakwa menjadi mangsa buli, termasuk tiga individu dengan nama panggilan 'Kak Wana', 'Kak Dedeng' dan 'Tomboi'.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, dipetik berkata kertas siasatan kes itu sudah dihantar oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah ke Bukit Aman untuk diperhalusi sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Sementara itu ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, 45, hari ini dilapor mengarahkan dua peguam untuk menguruskan proses membolehkan kubur arwah digali semula bagi pelaksanaan bedah siasat terhadap jenazah demi mengetahui punca kematiannya.