Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Rafizi cadang persekolahan hingga umur 16 tahun sahaja


KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mencadangkan kepada kerajaan untuk menetapkan umur berakhir persekolahan pada usia 16 tahun.

Dengan umur seawal itu, Ahli Parlimen Pandan itu berpandangan ia memberi peluang kepada mereka untuk berkecimpung dalam dunia pekerjaan pada usia lebih muda.


"Sekolah mesti berakhir lebih awal pada umur 16 tahun... kerana satu, kita negara menua. Keduanya, supaya anak-anak kita dapat mula menyertai sektor pekerjaan dengan lebih awal pada umur 21 tahun," katanya ketika perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas pembentangan RMK13 yang dikatakan tidak menumpukan aspek ekonomi dan projek pembangunan, Rafizi berkata perkara itu sudah pun diberi tumpuan sebelum ini masing-masing pada 2023 dan 2024.

Untuk RMK13, beliau berkata kerajaan menumpukan aspek pendidikan kerana menyifatkan sektor itu penting untuk pembangunan masa depan negara.

Katanya, antara yang diberi perhatian soal perkhidmatan pendidikan prasekolah yang universal membabitkan kanak-kanak seawal usia lima tahun.

"Sebenarnya ini diperlukan kerana mengambil kira 'garbage in garbage out' kalau kanak-kanak tidak dididik dengan baik. Pada umur yang potensi perkembangan mereka baik pada umur lima ke sembilan tahun.

"Bila mereka masuk Darjah Satu dan Darjah Lima, buatlah macam mana pun. Mereka telah pun ketinggalan. Negara-negara lain menghabiskan sumber semasa pendidikan awal bukan masa universiti, Tingkatan 1 dan sebagainya.

"Sebab itu, kalau tengok dalam RMK13 kita tak letak angka pun, berapa bilion dan sebagainya. Tetapi komitmen untuk menyediakan pendidikan prasekolah secara universal.

"Bermakna sesiapa pun jadi kerajaan selepas ini, mesti membuat keutamaan untuk memastikan sekolah seluruh negara dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun mesti mampu memberikan perkhidmatan pra sekolah yang universal kepada semua," katanya.