Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

PRN Sabah: Paling kurang satu kerusi DUN untuk BN bagi setiap Parlimen -Tok Mat


MEMBAKUT: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan sekurang-kurangnya satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) disediakan untuk calon BN Sabah bagi setiap kawasan Parlimen pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, cadangan itu adalah hasrat UMNO-BN Sabah bagi memastikan setiap Parlimen di negeri itu diwakili sekurang-kurangnya seorang calon daripada parti berkenaan.


"Berbeza dengan PRN yang lalu, terdapat beberapa kawasan Parlimen atau bahagian yang langsung tidak diwakili oleh calon BN. Keadaan ini boleh melemahkan semangat ahli dan jentera UMNO-BN di kawasan berkenaan kerana mereka tidak mempunyai peranan ketika pilihan raya berlangsung.

"Apabila tidak diberi peluang, ada yang mungkin kecewa dan akhirnya memilih meninggalkan parti dan ini sesuatu yang tidak baik.

"Kalau dalam satu Parlimen ada dua atau tiga kerusi DUN, sekurang-kurangnya satu kerusi diberi kepada BN untuk bertanding. Ini boleh menyuntik semangat dan menenangkan hati ahli-ahli parti di kawasan terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian serta Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Terbuka Membakut, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata perkara itu akan dibincangkan secara lebih mendalam di peringkat tertinggi menerusi Jawatankuasa Perunding UMNO dan Setiausaha Agung parti-parti komponen BN.

"Kita serahkan dulu kepada Jawatankuasa Perunding dan setiausaha-setiausaha agung parti komponen. Tetapi ini pesanan saya kepada Setiausaha Agung, jangan abaikan hasrat kita ini.

"Sekurang-kurangnya satu kerusi dalam setiap Parlimen mesti ada wakil BN yang bertanding di kawasan itu," tegasnya.