Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Polis reka cerita, paksa saya mengaku bunuh Zayn Rayyan -Ismanira

 

PETALING JAYA: Ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matin mendakwa dia dipaksa membuat pengakuan membunuh anaknya sendiri semasa 13 hari dalam tahanan reman, Jun tahun lalu.

Ismanira Abdul Manaf, 30, yang juga saksi pembelaan pertama kes pengabaian kanak-kanak autistik itu memberikan keterangan itu ketika pemeriksaan utama peguamnya, Haresh Mahadevan di Mahkamah Sesyen, hari ini.


Ismanira mendakwa, siasatan dijalankan di sebuah banglo di Petaling Jaya dikenali sebagai 'safe house' selepas enam bulan kematian Zayn Rayyan.

Sepanjang siasatan, dia memberikan kerjasama baik, namun pihak polis masih tidak berpuas hati dengan keterangannya.

"Mereka menuduh saya dan mengarang cerita yang perkara saya tidak lakukan. Mereka (polis) mereka cerita yang saya sebenarnya telah menjumpai anak saya lalu saya membunuh anak saya sendiri.

"Apabila saya menafikan, mereka tetap tidak puas hati," katanya.

Dakwa Ismanira, pihak polis terbahagi kepada dua golongan dengan segelintir daripada mereka turut bersimpati dengannya.

"Pihak polis pada masa itu terbahagi kepada dua golongan. Satu golongan bersimpati dan mengatakan yang mereka tahu saya tidak bersalah.

"Mereka yang bersimpati kepada saya pula meminta saya bersabar dan lawan jika perkara itu tidak benar. Bertahan sampai habis reman.

"Namun, satu lagi golongan polis tidak puas hati dan terus menekan saya dengan tuduhan yang saya tidak buat," katanya.

Mengenai pertuduhan pengabaian itu, Ismanira sekali lagi menegaskan, dia tidak pernah mengabaikan anak sulungnya itu sepanjang hayatnya.

"Saya tidak mengabaikan Zayn seumur hidup saya dan khususnya pada waktu dan masa dalam pertuduhan itu. Saya tidak berada di Blok R sepanjang masa. Saya tidak pernah ke kawasan sungai seperti di dalam pertuduhan. Saya benar-benar hilang anak pada hari itu dan bukan saya mengabaikan," katanya.

Ditanya sama ada dia membiarkan Zayn bersendirian, Ismanira menjawab, dia hanya berpisah dengan Zayn Rayyan ketika bekerja dan kanak-kanak itu berada di sekolah sahaja.

"Saya yang mengandungkan, melahirkan dan membesarkan Zayn sepanjang usia Zayn. Saya hanya berpisah dengan Zayn pada waktu saya bekerja dan waktu Zayn di sekolah sahaja.

"Saya tidak pernah membiarkan Zayn bersendirian atau mengabaikan," katanya.

Semalam Hakim Dr Syahliza Warnoh memerintahkan Ismanira membela diri atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, dua tahun lalu.

Keputusan itu diputuskan, selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ismanira.

Sementara itu, suaminya, Zaim Ikhwan Zahari dilepas dan dibebaskan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes pendakwaan terhadapnya.

Susulan itu, pihak pembelaan mengemukakan lima saksi pembelaan termasuk Ismanira dalam prosiding bela diri yang dijangka berlangsung empat hari bermula semalam.

Mengikut pertuduhan pindaan, Zaim Ikhwan dan Ismanira sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan,6, (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga kawasan sungai berdekatan antara 12 tengah hari 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023 dan mayatnya ditemukan keesokan harinya di anak sungai berhampiran rumahnya.