Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Najib mohon prosiding hina mahkamah terhadap Terrirudin

 

KUALA LUMPUR: Peguam mewakili Datuk Seri Najib Razak sudah memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding menghina mahkamah (komital) terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Menurut kenyataan firma guaman Tetuan Shafee & Co, permohonan difailkan pada 21 Mei lalu atas arahan bekas Perdana Menteri itu berhubung tindakan Terrirudin dalam permohonan semakan kehakiman membabitkan Titah Adendum.


Menurut firma berkenaan, asas permohonan ialah salinan Titah Adendum bertarikh 29 Januari tahun lalu yang dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong ke-16 telah diserahkan kepada anak Najib, Datuk Mohamad Nizar yang diperoleh daripada Pejabat Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.

Ia berkata, tambahan pula, melalui sepucuk surat bertarikh 4 Januari lalu, Majlis Kesultanan Pahang secara rasmi telah mengesahkan ketulenan dan kesahihan Titah Adendum terbabit.

"Kandungan dokumen itu bukan sahaja mengesahkan kewujudan Titah Adendum dan titah diraja mengenai penahanan rumah, malah turut mendedahkan titah itu secara langsung ditujukan kepada Ahmad Terrirudin dalam kapasitinya sebagai Peguam Negara ketika itu untuk melaksanakannya.

"Ini menunjukkan bahawa beliau mempunyai pengetahuan secara langsung mengenai kewujudan dan kandungan Titah Adendum berkenaan," menurut kenyataan itu lagi.

Tambah firma berkenaan, walaupun mempunyai pengetahuan itu, Najib mendakwa bekas Peguam Negara mengarahkan pegawainya mengelirukan Mahkamah Tinggi yang mendengar permohonan untuk memulakan semakan kehakiman.

Ia, menurut kenyataan itu, dengan menyatakan dakwaan mengenai kewujudan titah terbabit hanyalah spekulasi, bersifat 'ekspedisi memancing' dan berasaskan keterangan dengar cakap walaupun bekas Peguam Negara itu tahu bahawa kenyataan berkenaan nyata tidak benar.

Firma guaman itu berkata, Najib berpendapat bahawa sebagai seorang penjawat awam, bekas Peguam Negara mempunyai kewajipan untuk berterus-terang kepada mahkamah.

Pada 28 April lalu, Peguam Negara berjaya mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap kes semakan kehakiman Najib yang memohon suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan turut membenarkan Peguam Negara merayu keputusan berhubung notis usul Najib bagi mengemukakan keterangan baharu atau tambahan bertarikh 3 Disember tahun lalu.

Keterangan baharu itu membabitkan afidavit Mohamad Nizar yang memasukkan sesalinan Titah Adendum diterimanya daripada Pejabat Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, namun dilarang daripada menggunakan surat itu tanpa perkenan Sultan Pahang.

Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab serta mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh Januari tahun lalu.

Dalam semakan kehakiman itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Antara relif dipohon dalam semakan kehakiman itu ialah supaya semua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.

Najib juga memohon perintah, jika titah itu wujud, semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dengan memindahkan beliau serta-merta dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.