Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

DAP gesa semua bertenang, jangan boikot Darsa Fried Chiken


Naib Pengerusi DAP Teresa Kok menggesa supaya semua pihak bertenang bagi mengatasi perkembangan terkini dalam rentetan isu berkaitan kaum dan agama di negara ini.

Sambil mengingatkan bahawa "dendam” tidak akan meyelesaikan masalah, ahli Parlimen Seputeh itu mengulas kenyataan restoran tempatan Darsa Fried Chicken (DFC) yang dituduh cuba bermain isu perkauman.

“Tidak dinafikan bahawa kenyataan ‘type C’ tidak wajar. Amat dikesali dan mengecewakan, ayam goreng pun jadi modal unsur perkauman.


“Bagaimanapun, pihak restoran telah memohon maaf dan menyatakan dengan jelas bahawa ia mengalu-alukan semua kaum dan agama. Jadi kita lupakan,” katanya kepada Malaysiakini.

Kok yang menyedari terdapat segelintir pihak yang mahu agar ayam goreng Darsa diboikot berkata tindakan sedemikian boleh merosakkan perniagaan dan menjejaskan mata pencarian.

“Kita tidak seharusnya mengamalkan pemikiran yang sama seperti mereka yang menyemarakkan isu KK Mart. Kita tidak sepatutnya merosakkan perniagaan Malaysia.

Komen perkauman yang dibuat pihak syarikat


“Memandangkan Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dan agama, pasti ada pergeseran seperti di negara lain dan akan ada pihak yang cuba memanfaatkan perbezaan kita dan bukannya meraikan persamaan untuk kepentingan peribadi mereka.

"Tetapi rakyat Malaysia tidak seharusnya menjadi mangsa kepada pihak yang mempunyai kepentingan tertentu atau mengambil tindakan membalas dendam," tambahnya.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, jelas sekali Kok merujuk kepada Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh yang menerajui kempen memboikot kedai serbaneka KK Mart kerana terpalit dengan kontroversi stoking yang tertera kalimah Allah. Alasannya, "mempertahankan kesucian Islam".

DFC, yang membuka cawangan pertamanya pada 29 April, mengundang bidasan daripada pengguna media sosial yang mempertikaikan harganya.

Restoran yang disebut-sebut sebagai alternatif kepada KFC, itu mendapat kecaman kerana harganya yang lebih mahal.

Sebaliknya, ia mengingatkan seorang pelanggan agar tidak "ditipu oleh sentimen buruk yang dimainkan oleh 'type C", yang pengguna media sosial percaya merujuk kepada orang Cina di Malaysia.

Dalam satu kenyataan kemudian, DFC yang mendakwa "100 peratus milik bumiputera" memohon maaf dan menyifatkannya sebagai "kesilapan yang tidak disengajakan".

"Mungkin terlalu banyak komen yang berunsur menjatuhkan sedikit sebanyak mengganggu fokus admin kami,” jelasnya.

Pihak restoran itu berkata mereka telah memutuskan untuk tidak menjawab sebarang isu selepas ini bagi mengelakkan kesilapan sama berulang.

"Kami mengalu-alukan semua pelanggan kami di pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa atau agama.

"Semoga Malaysia yang kita kasihi ini aman dan damai. Pihak pengurusan DarsA Fried Chicken sedang memberi tumpuan sepenuhnya kepada operasi restoran pertama kami yang baru buka pada 29 April lalu,” kata syarikat itu.

Menurut FocusMalaysia, kedai itu diasaskan oleh timbalan ketua Dewan Ulama PAS Kedah Zainul Asri Mohd Romli–yang digelar tuan guru oleh pengikutnya.