Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kes IPIC: Representasi Najib dan Irwan tidak disentuh, perbicaraan bermula Jun 2024


KUALA LUMPUR: Kes pecah amanah harta Kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah akan mula dibicarakan bermula Jun 2024.

Kes itu akan dibicarakan setiap hari kecuali hari Jumaat dan cuti umum bermula 4 Jun dan akan berlanjutan sehingga 30 Julai 2024.


Tarikh-tarikh tersebut ditetapkan selepas pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi memohon kes dibicarakan bermula tahun depan.

Bagaimanapun, sepanjang prosiding yang berjalan tidak sampai 30 minit itu tiada mana-mana pihak menyentuh mengenai representasi yang dihantar oleh Mohd. Irwan dan Najib; masing-masing dihantar pada Mac dan Ogos lalu.

Pada 9 Ogos lalu, peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib dan peguam bela, Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Mohd. Irwan memaklumkan mahkamah bahawa mereka telah menghantar representasi kedua.

Representasi pertama Najib dihantar sekitar 2021 namun ditolak manakala representasi yang dihantar oleh Mohd. Irwan Serigar pada 2020 tidak mendapat sebarang respon daripada AGC menyebabkan beliau menghantar representasi kedua pada Mac lalu.

Pada 3 Mac 2022, Hakim Muhammad Jamil menolak permohonan Najib, 70, dan Mohd. Irwan, 67, agar mereka dilepas tanpa dibebaskan daripada semua pertuduhan atas alasan pihak pendakwaan bersedia untuk menjalankan kes.

Pada 25 Oktober 2018, Najib dan Mohd. Irwan mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta Kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. 

– UTUSAN