Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

'Ringgit terjejas jika pasaran tahu USD600 juta dikeluarkan dari akaun Najib' -saksi


KUALA LUMPUR: Seorang jurubank memberi keterangan bahawa pasaran kewangan akan berubah dan nilai ringgit akan terjejas jika AS$600 juta telah dipindahkan daripada akaun perdana menteri Najib Razak.

Ketua Pasaran Modal Perbankan Persendirian AmBank,Yap Wai Keat berkata demikian ketika memberi keterangan lisan dalam perbicaraan rasuah 1MDB berhubung penyelewengan RM2.28 bilion membabitkan Najib, petang tadi.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed, saksi pendakwaan ke-38 itu menjelaskan atas sebab itu akaun tertuduh yang berakhir dengan 694 dengan bank komersial itu mewujudkan kod nama "MR Banking AmPrivate" dan bukannya namanya.

Peguam itu mahu tahu mengapa walaupun nama kod diberikan tetapi Yap masih boleh memberi keterangan bahawa akaun bank itu adalah milik Najib.

Wan Aizuddin secara khusus menyoal tentang aliran masuk kira-kira AS$20 juta (RM60,629,839.43) ke dalam akaun Najib daripada Putera Faisal Turki Bandar al-Saud antara 24 Feb dan 14 Jun, 2011, dalam dua urusniaga berjumah kira-kira AS$10 juta setiap satu.


Yap menjelaskan bahawa pengurus perhubungan Ambank, ketika itu, Joanna Yu telah memberitahunya (Yap) bahawa dia mewujudkan nama itu kerana tertuduh ketika itu adalah individu yang terdedah secara politik.

Saksi itu berkata Yu memberitahunya demikian semasa mengatur penukaran mata wang asing berjuta-juta dolar kepada ringgit ke dalam akaun Najib.

Yap berkata bahawa nama itu akan menghalang orang luar - seperti peserta pasaran pertukaran asing - untuk mengetahui tentang sebarang transaksi besar yang mengalir masuk atau keluar dari akaun.

Yap: Kami (AmBank) cuba untuk tidak mendedahkan identiti pelanggan kepada orang luar.

Wan Aizuddin: Apa yang menyebabkan ia (akaun Najib) sensitif?

Yap: Pertama, beliau (Najib) adalah perdana menteri pada masa itu, dan jumlah transaksinya agak besar. Jika pasaran mengetahui jumlahnya, pasaran akan mengambil kedudukan dan ini menjejaskan nilai ringgit.

Wan Aizuddin: Katakan AS$10 juta dipindah masuk ke dalam negara untuk ditukar kepada ringgit dan penerima bukan Najib. Adakah ini akan mengubah kedudukan pasaran?

Yap: Tidak, kerana AS$10 juta tidak akan memberi kesan besar, tetapi dengan AS$600 juta (transaksi wang masuk dalam akaun Najib) kita perlu lebih berhati-hati.

Disebabkan itu Joanna (Yu) mewujudkan nama kod AmPrivate Banking MY untuk Datuk Seri (Najib), itulah yang saya tahu tentang nama penerima.

Pada ketika ini, Wan Aizuddin mengingatkan Yap bahawa pemeriksaan balas itu bukan berkaitan dengan AS$620 juta yang mengalir keluar daripada akaun Najib tetapi sebaliknya berhubung AS$20 juta, yang saksi itu kembali menjawab secara khusus mengenai transaksi terakhir itu.

Prosiding di hadapan hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini serta Isnin minggu depan.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion daripada 1MDB.

-Malaysiakini