Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

"Semalam dah banyak gambar dah." seloroh Najib sebelum bayar ikat jamin


Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang disabitkan atas tujuh kesalahan berhubung penyalahgunaan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd selesai membayar wang jaminan tambahan RM1 juta yang diperintahkan Mahkamah Tinggi semalam.

Najib, 67, yang hadir memakai baju kemeja biru tiba di mahkamah pada pukul 1.00 petang bersama anaknya Norashman yang difahamkan penjamin kepada bapanya.

Ahli Parlimen Pekan itu kemudian dilihat keluar dari kaunter Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi dan beredar dari mahkamah pada pukul 1.30 petang.



Semasa fotonya dirakam jurukamera, Najib sempat berseloroh dengan berkata 'semalam dah banyak gambar dah' sebelum berjalan ke arah lobi mahkamah.

Semalam, Najib diperintahkan membayar ikat jamin tambahan RM1 juta selepas mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan kesemua hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Beliau didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan membabitkan RM42 juta dana SRC.



Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap semua pertuduhan yang dihadapi Najib.

Sebagai syarat tambahan, mahkamah turut memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berdekatan dua kali sebulan.

Beliau dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga pertuduhan CBT dan setiap tiga kes pengubahan wang haram manakala 12 tahun penjara serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun dalam kes menyalahgunakan kedudukan.

- Bernama