Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Saksi utama kes Terowong Guan Eng diserang 10 lelaki (video)


KUALA LUMPUR: Seorang saksi utama dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng diserang sekumpulan 10 lelaki yang menceroboh rumahnya di Petaling Jaya, dekat sini, hari ini.

Mangsa mengalami kecederaan di muka dan tangan selepas penyerang masuk ke dalam kediamannya, menurut sumber yang rapat dengan perbicaraan itu.


Difahamkan, penyerang telah mengikat dua pengawal keselamatan sebelum memasuki rumah mangsa.

"Penyerang turut memberi amaran agar dia hanya duduk di rumah dan jangan jadi 'wira'," kata sumber berkenaan.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 7.20 pagi.

Katanya, satu kenyataan akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin yang mengetuai pasukan pendakwaan kes Guan Eng pula berkata, pihak pendakwaan akan membangkitkan isu itu apabila perbicaraan bersambung 19 Ogos ini.

Guan Eng, yang juga penasihat DAP sedang berdepan beberapa pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen berhubung Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang.

Beliau didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu untuk meminta suapan daripada Pengarah Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, bagi membantu syarikat terbabit mendapatkan projek berkenaan.

Guan Eng turut didakwa meminta 10 peratus daripada keuntungan syarikat daripada Zarul.

Selain itu, beliau juga dituduh menerima RM3.3 juta untuk dirinya sendiri dan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri dilupuskan kepada dua syarikat yang mempunyai kaitan dengan projek terbabit.

video: