SUBANG JAYA: Seorang pelajar wanita sebuah kolej ditemui disahkan mati dibunuh selepas ditemukan tergantung di kipas siling di ruang tamu kediamannya di USJ 2/1 di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menerima panggilan pada jam 11.55 pagi, memaklumkan seorang wanita berusia 20-an ditemui mati tergantung di kipas.
Katanya, pemanggil yang juga bapa mangsa, menemukan wanita itu di ruang tamu tingkat dua rumah.
"Pemeriksaan awal di lokasi mendapati mangsa sudah meninggal dunia dan bedah siasat dijalankan oleh pakar patologi Hospital Serdang.
"Punca kematian disahkan akibat pendarahan di sekeliling hyoid bone (tulang leher), manakala kecederaan pada otot dan tulang adalah kesan daripada manual strangulation (cekik)," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Wan Azlan berkata, mangsa tinggal bersama kakak dan sepupunya, namun mangsa berada di rumah seorang diri ketika mayatnya ditemui.
Katanya, rumah terbabit adalah milik keluarga dan tiada kehilangan harta benda dilaporkan.
Wan Azlan berkata, kecederaan pada otot dan tulang berpunca akibat dicekik (manual strangulation).
"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
"Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti motif kejadian," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi 03-278627100 (Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya) atau Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Zainol Aazizi Abu Bakar 013-3227632.