KUALA LUMPUR: Lima remaja perempuan bakal dihadapkan ke Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu pada Rabu ini berkaitan kes buli Allahyarham Zara Qairina Mahathir, akan didakwa atas tuduhan mengugut dengan mengeluarkan perkataan bersifat mengancam.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, yang dihubungi media hari ini, mengesahkan pertuduhan ke atas lima remaja bawah 18 tahun itu adalah mengikut Seksyen 507c(1) Kanun Keseksaan.
Prosiding di Mahkamah Kanak-Kanak lazimnya dilakukan secara tertutup.
Pertuduhan terbabit adalah berhubung menyebabkan gangguan, tekanan, ketakutan atau kebimbangan kepada seseorang yang berkemungkinan berasa terganggu, tertekan, takut atau cemas.
Seksyen berkenaan menyebut, sesiapa dengan apa cara atau melalui apa-apa kaedah, menggunakan atau membuat ugutan dengan mengeluarkan perkataan atau komunikasi bersifat mengancam, menghina atau mengaibkan, atau melakukan apa-apa perbuatan yang mengancam, menghina atau mengaibkan.
Selain itu, perkataan, komunikasi atau perbuatan itu didengar, dilihat atau sebaliknya disedari oleh seseorang yang berkemungkinan berasa diganggu, tertekan, takut atau cemas akibat daripada itu, boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya.
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan rasmi mengesahkan sudah meneliti kertas siasatan polis dan membuat keputusan menuduh beberapa individu yang terbabit dalam kes buli itu berdasarkan keterangan yang ada.
Menurut kenyataan itu, keputusan menuduh suspek bagi kesalahan buli dibuat kerana ia tidak akan menjejaskan prosiding inkues kematian Zara Qairina yang akan dijalankan di mahkamah.
Jabatan itu menegaskan, walaupun pertuduhan kesalahan buli dilakukan, siasatan polis berhubung kematian Zara Qairina tetap diteruskan termasuk prosiding inkues.