Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Guru wanita akui dakwaan Zara dimasukkan dalam mesin basuh hanyalah sekadar konten


KUALA LUMPUR - Seorang guru bahasa Inggeris (BI) mengakui kandungan TikToknya bahawa Zara Qairina Mahathir,13, dibunuh dengan cara dimasukkan ke dalam mesin basuh hanya sekadar ‘content’.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan perkara itu semasa menyampaikan taklimat khas menteri di Dewan Rakyat pada Isnin.


“Bila kita soal siasat tanya kenapa mesti buat begitu? Dia jawab, saya nak buat content saja. Guru Bahasa Inggeris itu, kita tangkap dan kita akan dakwa kalau Peguam Negara bersetuju untuk tuduh.

“Tapi ‘content’ dia itu ditelan bulat-bulat oleh sebahagian besar rakyat, di dalam dan di luar dewan. Saya ingin membawa kepada sentimen yang membengkak dan membentuk gelombang.

“Yang ‘create content’ itu, kita tangkap. Bila kita tanya, dia nak buat content tapi cara dia susun ayat, seolah-olah begitulah punca kematian. Di sinilah saya nak sebut, kita tak boleh berdasarkan kepada sentimen dan emosi,” katanya.

Tambah Saifuddin, sejak dari 18 Julai hingga 25 Julai, polis sudah memanggil 38 saksi dan mengambil keterangan daripada 195 orang.

Siasatan kini katanya, telah diperluaskan untuk turut merangkumi mereka yang didapati cuba memanipulasi isu itu untuk menganggu gugat ketenteraman awam.

Jelasnya, komitmen kepada keadilan mesti berlandaskan bukti dan undang-undang sambil menyatakan bahawa kes tersebut adalah satu perkara yang sangat berat dan serius kerana melibatkan kehilangan nyawa.

“Adik Zara yang baru berumur 13 tahun, anak tunggal dalam keluarga. Disebabkan itu kita mesti lakukan siasatan secara profesional dan telus, bukti yang sahih mengikut peruntukan lunas undang-undang.

“Kita sebuah masyarakat yang bertamadun dan dalam negara yang berlandaskan kedaulatan undang-undang, tidak boleh bertindak berdasarkan andaian semata-mata, desas-desus di media sosial atau tekanan daripada ahli politik mahupun kerana berlakunya demonstrasi yang niat sebenar adalah untuk mendapatkan kebenaran dan keadilan.

“Polis komited untuk menyelesaikan siasatan ini. Sambil itu, saya mengingatkan diri saya di sebelah sini (kerajaan) dan rakan-rakan yang saya hormati di sebelah sana (pembangkang) juga. Dalam Islam, kepentingan bukti dan peranan pemimpin dalam membuat keputusan berdasarkan kebenaran adalah sangat ditekankan,” jelasnya.