Petrol RM1.99 seliter, RM100 untuk 18 tahun ke atas antara tujuh inisiatif diumum PMX
Labels:
Politik
KUALA LUMPUR Hari ini erdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim umumkan beberapa inisiatif penting sebagai tanda penghargaan Kerajaan MADANI kepada seluruh rakyat Malaysia.
Penurunan harga petrol RON95
Anwar mengumumkan harga petrol RON95 akan turun lebih rendah iaitu RM1.99 seliter selepas penyasaran subsidi bahan bakar itu dilaksanakan kelak.
Perdana Menteri berkata, langkah itu tentunya beri manfaat sekitar 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal termasuk belia seawal usia 16 tahun dan pekerja gig.
Perlaksanaan akan dilakukan sebelum September 2025.
RM100 untuk 18 tahun ke atas
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang sebelum ini dinikmati isi rumah miskin dan miskin tegar di dalam rekod eKasih kini diperluaskan kepada semua rakyat.
Perdana Menteri berkata, setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas akan menerima RM100 ringgit secara one-off melalui MyKad menerusi SARA.
"Bantuan ini boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos 2025 sehingga 31 Disember 2025 bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya di seluruh negara.
"Bantuan ini diberikan secara individu dan bukannya isi rumah. Maknanya, sebuah isi rumah umpamanya suami, isteri dan dua orang anak dewasa akan dapat RM400," katanya.
4000 jawatan doktor kerajaan
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan lebih 4,000 jawatan untuk doktor kerajaan, termasuk pegawai perubatan lantikan kontrak, akan disediakan tahun ini.
Perdana Menteri menekankan keperluan mendesak terhadap doktor dalam sektor penjagaan kesihatan.
"Terdapat kebimbangan mengenai beberapa jawatan yang penting untuk rakyat. Contohnya, kekurangan doktor," katanya.
Bagi mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan, Anwar mengesahkan seramai 4,352 doktor baharu, termasuk yang berstatus kontrak, akan diambil bekerja pada tahun ini.
Tol tak naik
Kerajaan bersetuju menangguh kenaikan tersebut supaya rakyat terus menikmati kadar tol yang sama.
Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan akan menanggung kos lebih RM500 juta.
Peningkatan Jualan Rahmah
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan Jualan Rahmah MADANI 2025 tahun ini ditingkatkan sekali ganda lagi menjadi RM600 juta, berbanding yang diumum sebelum ini RM300 juta.
Perdana Menteri berkata, peruntukan tambahan ini antaranya akan menambah kekerapan dan memperluas jumlah lokasi di seluruh negara meliputi kesemua 600 Dewan Undangan Negeri (DUN).
Cuti 15 September
Anwar mengumumkan 15 September depan diisytiharkan sebagai hari kelepasan am tambahan bersempena Sambutan Hari Malaysia pada tahun ini.
Perdana Menteri berkata, hari kelepasan ini bagi menghargai ukhuwah perpaduan dan keistimewaan pembentukan Malaysia. Ini juga bagi memberi galakan agar rakyat menjalinkan silaturahim sesama keluarga di kampung atau meluangkan masa bercuti di dalam negara.
"Ini mudah-mudahan dapat meningkatkan ukhwah, perpaduan dan mengingatkan kita kehebatan pemuka bangsa dalam mengusulkan pembentukan Malaysia negara tercinta," kata Anwar.
Beliau berkata demikian pada Pengumuman Penghargaan untuk Rakyat Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi semua saluran televisyen utama serta platform media sosial, hari ini.
Sambutan Hari Malaysia 2025 pada 16 September ini akan diadakan di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, Pulau Pinang dengan pelbagai pengisian menarik