Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Guan Eng desak Menteri terbabit bayar pampasan HSR letak jawatan



PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mendesak menteri yang terbabit mengesyorkan pembayaran pampasan RM320 juta bagi pembatalan projek Landasan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura meletak jawatan.

Katanya, pembatalan projek itu bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin membawa kerugian kepada negara, sekali gus menampakkan ketidakcekapan dan ketidakpastian kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

“Malaysia menjadi bahan ketawa antarabangsa kerana mencadangkan untuk menghidupkan semula HSR KL-Singapura selepas membayar pampasan RM320 juta (SGD102.8 juta) kepada Singapura kerana membatalkan projek itu awal tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

Lim berkata, kerajaan Muhyiddin sanggup membayar RM320 juta untuk memungkiri janji terbukanya meneruskan HSR KL-Singapura dan menggantikannya dengan HSR KL-Johor Bahru.

“Projek HSR tersebut tidak berdaya maju dari segi kewangan dan tidak praktikal dari segi logistik jika landasan kereta apinya berhenti di Johor Bahru dan tidak melalui Singapura,” katanya.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, Muhyiddin telah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, justeru menteri terlibat yang masih berada dalam Jemaah Menteri perlu memberi penjelasan.

Katanya, perlu ada akauntabiliti dan ketelusan penuh untuk menuntut peletakan jawatan menteri yang bertanggungjawab menyarankan pembatalan projek itu.

Lim turut menyambut baik usaha Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menghidupkan semula laluan asal HSR yang disifatkannya masuk akal kerana perjalanan dari KL ke Singapura hanya mengambil masa kira-kira dua jam.

Ia termasuk 90 minit perjalanan kereta api sebenar dan anggaran 15 minit untuk pemeriksaan imigresen di sempadan negara serta 15 minit bagi pemindahan antara pusat bandar dan stesen HSR.

Mac lepas, Menteri Pengangkutan Singapura Ong Ye Kung mendedahkan sebab utama kedua-dua negara tidak mencapai persetujuan adalah Malaysia mahu menyingkirkan syarikat aset ditender bersama (AssetsCo).

-Mkini